Keselamatan sosial pekerja mesti ditingkatkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat meningkatkan jaringan keselamatan sosial pekerja dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok bagi memastikan mereka yang terjejas akibat penularan COVID-19 mendapat pembelaan. 

- Advertisement -

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani berkata perlindungan sosial seperti insurans, kebajikan sosial dan perlindungan pada hari tua amat penting dalam berdepan situasi pandemik yang tidak berkesudahan.

“Bagi mereka yang kehilangan kerja, kerajaan perlu berusaha membantu mereka mendapatkan bantuan segera termasuk kewangan dan pekerjaan baharu, bagi memastikan kelangsungan hidup.

“Dengan situasi norma baharu pula, kerajaan perlu menyediakan garis panduan bagi memastikan pekerja yang bekerja dari rumah turut mendapat perlindungan sewajarnya termasuk keselamatan, kemudahan serta waktu kerja yang bersesuaian,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Mohd Effendy berharap kerajaan akan meneruskan program subsidi upah yang akan tamat pada 31 Dis ini dan memudahkan proses serta mempercepatkan pembayarannya.
 
Katanya, bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan untuk setiap pekerja yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah itu dapat membantu mengekalkan pekerja sekali gus mengurangkan pengangguran di negara ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) Mohammad Rizan Hassan berharap kerajaan dapat memberi lebih peluang kepada pekerja berkemahiran berpengalaman untuk menjadi tenaga pengajar jemputan di institut kemahiran. 

Katanya, usaha itu dapat membantu negara melahirkan kualiti siswazah yang menepati kehendak atau keperluan industri.

“Bagaimanapun mereka tidak perlu dibebani dengan syarat-syarat pentadbiran yang menyebabkan mereka rasa terhalang untuk menyumbang kepada negara.

“Insentif tunai juga boleh diberikan kepada mereka yang sedia menjadi tenaga pengajar manakala insentif untuk majikan juga boleh diberikan kerana kesediaan melepaskan pakar mereka untuk tempoh tertentu,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -