Kesejahteraan psikologi penjawat awam dinilai JPA

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini melancarkan Inventori Kesejahteraan Holistik (IKH) yang merupakan sistem ujian psikologi dalam talian untuk menilai kesejahteraan psikologi penjawat awam.

- Advertisement -

Dilancarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, IKH menilai enam domain utama iaitu kesejahteraan emosi, kepuasan hidup, kefungsian psikologi, kesejahteraan sosial, kesejahteraan pekerjaan dan kesihatan mental.

Mohd Khairul Adib berkata akibat daripada pandemik COVID-19, terdapat kehidupan individu yang terganggu dan terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menjejaskan kesejahteraan psikologi diri seperti kegelisahan, ketakutan dan terasing apabila mengamalkan penjarakan fizikal.

“Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan berkesan ia boleh mencetuskan reaksi negatif kepada fisiologi tubuh badan dan mereka cenderung mengalami stress, jatuh sakit dan mengalami penurunan kefungsian kognitif. Ini juga memberi implikasi negatif kepada prestasi kerja pegawai,” katanya.

Mohd Khairul Adib berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam ke-24 yang diadakan secara dalam talian menerusi laman Facebook JPA hari ini.

Persidangan bertemakan ‘Norma Baharu Perkhidmatan Psikologi: Intervensi Digital’ berlangsung selama tiga hari iaitu 5, 9 dan 11 November secara dalam talian bagi meraikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia.
 
Memetik statistik Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) Kementerian Kesihatan, menurutnya sepanjang tempoh PKP sehingga PKP Pemulihan dilaksanakan, seramai 64,366 orang mendapatkan perkhidmatan psikologi, iaitu 55 peratus mendapatkan perkhidmatan Psychological First Aid (PFA) dan 22.5 peratus melibatkan isu kesihatan mental.

Bagi penjawat awam, Mohd Khairul Adib berkata lebih 15,000 orang telah mendapat perkhidmatan kaunseling sehingga September 2020.

Sepanjang tempoh berkenaan, katanya permintaan terhadap perkhidmatan psikologi tidak lagi terhad secara konvensional tetapi melalui intervensi digital seperti bimbingan, kaunseling, psikoterapi dan penilaian psikologi yang disediakan bagi membantu pelanggan mendapatkan perkhidmatan dengan segera terutama dalam kes kecemasan. 

“Penyampaian perkhidmatan secara digital membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat nasihat, sokongan atau intervensi, tanpa dibatasi oleh faktor geografi, masa, kos atau fizikal. Malah, ia dapat mempertingkatkan lagi penyampaian perkhidmatan penjawat awam terutama dalam menangani masalah pegawai berprestasi rendah,” katanya.

Namun, katanya elemen sentuhan kemanusiaan masih memainkan peranan penting bagi memastikan keberkesanan atau kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan yang diberikan.

“Dalam situasi tertentu, penyampaian perkhidmatan psikologi secara konvensional masih relevan untuk dipraktikkan, mengikut kesesuaian semasa dan keperluan individu,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -