Inisiatif asing pendakwa raya dengan AG diteruskan

Dato' Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan inisiatif untuk mengasingkan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara, demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Dato’ Takiyuddin Hassan.

Katanya, Jabatan Peguam Negara adalah agensi penyelaras bagi inisiatif ini dan merupakan agensi pelaksana strategi.

- Advertisement -

“Kini, Jabatan Peguam Negara sedang memuktamadkan Laporan Kajian Pengasingan Peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara termasuk cadangan pindaan kepada Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada penghujung tahun 2020,” kata Takiyuddin di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan Khalid Samad [PH- Shah Alam] semasa sesi pertanyaan jawab lisan pagi tadi.

Khalid dalam pertanyaannya meminta penjelasan sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk meminda Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan bagi memisahkan kuasa dan fungsi Pendakwa Raya daripada Pejabat Peguam Negara bagi memastikan kuasa pendakwaan yang lebih telus dalam sistem keadilan Malaysia.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata inisiatif ini merupakan salah satu strategi di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan Pelan Anti Rasuah Nasional. – HARAKAHDAILY 5/11/2020

- Advertisement -