Belanjawan 2021, apa kata anda?


MENJELANG sehari Belanjawan tahunan negara, rakyat kini ternanti sentuhan langsung dari Dewan Rakyat. Di celah-celah kemeriahan harapan, jangan sekali-kali kita terlepas pandang melihat harapan dan sumbang saran bagi komuniti OKU.

Apa yang boleh saya simpulkan bagi tujuan itu adalah dua hal berikut:

1. Bantuan sedia ada dinaikkan pada kadar yang lebih munasabah.
2. Penubuhan Yayasan Pembangunan dan Pemerkasaan OKU Kebansaan.

Advertisement

Saya tidak akan menyentuh perkara pertama memandangkan ia sangat jelas dan dimaklumi. Mari kita lihat dari hal cadangan kedua.

Penubuhan Yayasan yang dicadangkan merupakan antara jalan keluar jangka sederhana yang boleh dimulakan pihak kerajaan bagi menangani isu-isu pembangunan OKU yang selama ini bagai tiada penghujung. Sejak dulu kita berbicara tentang anjakan paradigma iaitu dari kebajikan (cara lama) kepada pendekatan (hak).

Pun begitu, secara realitinya ia bukanlah suatu yang mudah. Perubahan paradigma ini sangat memerlukan sentuhan gerak kerja yang tersusun dan menyeluruh.

Bagi tujuan itu, sejumlah kewangan yang signifikan dan penyusunan struktur gerak kerja yang khusus diperlukan. Dalam masa yang sama, kekangan warga kerja dan peruntukan kewangan tetap tidak boleh dikesampingkan. Justeru, tidak adil untuk cabaran ini diserahkan kepada pihak berkuasa semata-mata.

Kebersamaan seluruh pihak termasuklah agensi-agensi berkuasa, GLC, sektor swasta dan keprihatinan masyarakat umum harus digembeling. Bagi tujuan itu, penubuhan Yayasan yang dicadangkan diyakini langkah terbaik yang boleh dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Jadikan pembentangan Belanjawan petang esok sebagai langkah pertama memacu usaha berstrategik ini. Penubuhan Yayasan ini mampu menjelmakan kesungguhan langkah anjakan paradigma yang selama ini diwar-warkan.

Selain itu, ia antara mekanisme terbaik amalan penerapan (nothing about us without us). Penubuhan Yayasan ini membuka ruang dan peluang yang lebih terbuka bagi penyertaan OKU dalam proses membuat keputusan dan perancangan pembangunan OKU masa depan.

Dengan doa dan harapan, Belanjawan 2021 adalah medan terbaik untuk pihak kerajaan persekutuan memulakan suatu lembaran kebijaksanaan bagi kepentingan warga OKU di Malaysia.

(5 November; Sembang Sekretariat Prihatin OKU Malaysia)
Mohd Faizal Che Yusof,
Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU Malaysia. – HARAKAHDAILY 5/11/2020