Belanjawan 2021: Antara harapan rakyat, kemampuan kerajaan

Gambar sekadar hiasan
- Advertisement -

BELANJAWAN 2021 yang bakal dibentangkan Jumaat ini memang merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak. Pada pandangan penulis pembentangan belanjawan kali ini adalah sama kritikalnya dengan pembentangan belanjawan yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa beliau masih menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1997 dahulu. Pada masa itu berlakunya krisis kewangan yang dahsyat di Asia Tenggara melibatkan beberapa buah negara.

- Advertisement -

Anwar ketika pembentangannya itu ada memetik sirah Nabi Yusuf A.S tentang peristiwa semasa Baginda menjadi Menteri Kewangan kerajaan Mesir pada ketika itu. Ia tentang prinsip ‘menyimpan selama tujuh tahun yang makmur untuk digunakan pada tujuh tahun yang kemarau’.

Penulis kira pada masa ini situasinya mungkin hampir sama dengan ketika itu. Namun kali ini krisis ini melibatkan hampir 90 peratus peta dunia. Malah pakar-pakar kewangan menyifatkan krisis kewangan akibat Covid-19 ini jauh lebih kritikal daripada krisis kewangan 1997 itu.

Pada hemat penulis kata kunci paling penting yang perlu menjadi garis panduan kerajaan dalam merangka Belanjawan 2021 ini ialah ‘bersasar’. Maksudnya setiap bantuan yang diberikan oleh kerajaan harus bersifat bersasar pada tahap tinggi demi untuk memastikan tahap kesihatan yang baik ekonomi negara secara makro dan mengelakkan daripada negara terjerumus kepada masalah kewangan yang lebih serius.

Setiap rakyat harus mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi bahawa pada masa ini bukan masa untuk mengambil kesempatan mengaut laba bantuan kerajaan jika kita bukan termasuk dalam golongan yang menghadapi kesukaran akibat kesan Covid-19 ini.

Sekiranya kategori yang perlu diberi bantuan ini dapat diberikan kepada sasaran yang paling tepat maka kita boleh memberinya pada kadar yang lebih tinggi, jadi kadar bantuan yang mereka terima benar-benar dapat membantu mereka.

Sebagai contoh, sekitar Mei tahun ini kerajaan pernah memberi bantuan persekolahan sebanyak RM200 kepada semua pelajar sekolah dan IPT. Ia diberi tanpa sasaran kepada golongan tertentu. Jadi semua pelajar sama ada daripada golongan T20, M40 atau B40, sama ada orang kaya atau orang miskin semuanya mendapat bantuan dengan kadar RM200.

RM200 bagi anak seorang Pengurus Besar di sebuah syarikat swasta hanyalah sekadar satu bonus tambahan untuk dia berbelanja. Tapi RM200 pada anak seorang tukang cuci memberi makna yang sangat besar malah mungkin tidak mencukupi dengan perbelanjaan asas mereka.

Dengan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk 1.5 juta pelajar, maka setiap pelajar akan mendapat RM200 seorang. Namun jika peruntukan ini disasarkan hanya kepada pelajar daripada kumpulan keluarga B40 maka akan lebih banyak jumlah setiap seorang pelajar itu akan diterima oleh pelajar itu.

Katalah jumlah pelajar dalam golongan ini adalah seramai 800,000 orang maka dengan peruntukan yang sama sebanyak RM300 juta, bermakna setiap seorang akan mendapat sebanyak RM375 seorang. Ini lebih banyak berbanding RM200 seorang yang diberi sebelum ini, secara tidak bersasar tidak kira kaya atau miskin.

Ini adalah perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan di saat-saat kritikal negara berada di dalam situasi bakal berhadapan dengan polisi pengembangan fiskal iaitu pengurangan kadar cukai dan pertambahan dalam perbelanjaan yang mungkin diambil kerajaan.

Bagi penulis, kakitangan kerajaan adalah antara yang kurang terjejas dengan Covid-19. Ini adalah kerana setakat ini pendapatan mereka tidak terjejas dengan masalah ini. Namun kakitangan kerajaan yang terlibat dengan barisan hadapan menentang Covid-19 pula harus diberi perhatian dan bantuan khusus.

Mereka antaranya kakitangan kesihatan, polis, tentera, kerajaan tempatan dan lain-lain jabatan terlibat. Mereka berada dalam keadaan yang sangat tertekan dan kehabisan tenaga mendepani masalah ini dan harus diberi ganjaran dan bantuan yang sesuai.

Selain itu, isu tuntutan rakyat agar mereka dibenarkan mengeluarkan wang KWSP daripada Akaun 1 juga harus dipertimbangkan oleh kerajaan memandangkan ia tidak melibatkan perbelanjaan yang ditanggung secara langsung oleh kerajaan. Sekurang-kurangnya ia dapat menambah wang dalam poket rakyat yang semakin kering akibat Covid-19 ini.

Namun ia juga harus bersasar dengan pengeluaran hanya melibatkan mereka yang hilang pekerjaan atau dipotong gaji akibat kesan Covid-19 ini. Juga untuk peniaga-peniaga kecil yang terjejas perniagaan mereka yang mana sebelum ini mereka pernah bekerja dan mempunyai caruman KWSP.

Pengeluaran KWSP yang tidak bersasar sebenarnya boleh merugikan pencarum pada masa depan sekiranya ia dibuat sewenang-wenangnya tanpa keperluan. Kerana itu ia perlu diberi kebenaran secara bersasar juga.

Tragedi Kementerian Pengajian Tinggi yang lambat memaklumkan penangguhan pendaftaran awal Oktober lepas sebenarnya turut memberi satu luka yang masih berdarah bukan sahaja kepada para pelajar malah kepada ibu bapa yang terlibat.

Ada di antaranya yang datang dari Sabah atau Sarawak yang sudah membeli tiket kapal terbang untuk ke Semenanjung untuk mendaftar atau mereka yang dari Semenanjung untuk mendaftar ke IPT di Sabah dan Sarawak banyak yang kerugian kerana pembatalan perjalanan mereka. Ini juga antara yang harus diberi perhatian oleh kerajaan di dalam belanjawan kali ini.

Golongan pelajar IPT adalah antara mereka yang perlu diberi bantuan-bantuan tertentu untuk meringankan perbelanjaan ditanggung ibu bapa mereka sepanjang mereka di kampus daripada golongan B40 yang terjejas.

Selain itu yang paling penting ialah golongan peniaga-peniaga kecil yang bilangan mereka bukan sedikit yang terjejas akibat kesan Covid-19 ini. Ini berikutan PKP yang diperkenalkan pada awal tahun dahulu yang menjejaskan golongan peniaga kecil terutama penjaja apabila mereka tidak boleh berniaga di pasar malam, pasar tani dan di tepi jalan.

Kebanyakan mereka sudah kehabisan modal untuk memulakan semula perniagaan selepas tamat PKP. Mungkin bantuan ini boleh disalurkan melalui Tekun Nasional, MARA, SME Bank atau mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan.

Bantuan kepada peniaga kecil ini sangat penting kerana kebanyakan mereka adalah daripada golongan marhaen dan mereka adalah golongan yang bakal merancakkan ekonomi negara sekiranya mereka berjaya bangkit semula dalam perniagaan mereka .

IBNUE JANIE Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Negeri Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah – HARAKAHDAILY 5/11/2020

- Advertisement -