Bajet 2021 kayu ukur sokongan rakyat

KUALA LUMPUR: Bajet 2021 akan menjadi kayu ukur dalam menentukan tahap sokongan rakyat terhadap pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mohamed berkata, sebarang tindakan berbentuk komen, gambar ataupun video di media sosial tidak tergolong dalam indikator bersifat mutlak disebabkan tahap sokongan rakyat itu merupakan sesuatu yang dinamik.

Advertisement

“Ada pelbagai indikator yang boleh diambil bagi mengukur tahap sokongan rakyat, contohnya prestasi semasa kerajaan sedia ada, bagaimana rakyat berpuas hati dengan servis yang diberikan oleh kerajaan.

“Selain itu, tahap sokongan juga akan berbeza dalam konteks lokaliti seperti bandar dan luar bandar, malah umur juga mampu menjadi indikator dalam mengukur tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan,” ujar Anuar yang dihubungi Harakahdaily.

Beliau menjelaskan tindakan Red Beans Army (RBA) tajaan DAP menyerang kerajaan sedia ada melalui media massa tidak memberi kesan mutlak terhadap tahap sokongan rakyat.

Menurutnya, Bajet 2021 akan menjadi indikator kukuh untuk melihat sokongan positif rakyat terhadap kerajaan apabila belanjawan negara tersebut disokong sebulat suara oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Daripada kita hanya melihat dalam konteks RBA itu sahaja, terdapat banyak perkara lain menjurus kepada tahap sokongan sekali gus propaganda pihak musuh untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada akan terjawap,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini, telah dikesan gerakan musuh tajaan DAP iaitu Red Bean Army atau ringkasnya RBA ditubuhkan bagi menghancurkan Islam dan Melayu menerusi media sosial Facebook dan blog.

Difahamkan RBA ini menerima bayaran dengan menggunakan modus operandi nama Melayu untuk dilihat sebagai pengguna sosial kalangan Melayu-Islam saling bermusuhan sesama sendiri.

Ia juga bertujuan menggoyahkan kesatuan Melayu Islam sekali gus mengganggu-gugat kestabilan kerajaan sedia ada. – HARAKAHDAILY 5/11/2020