Sungai merintih angkara tangan manusia

Foto fb Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

TERUS terang kita semua ingin melihat jernihnya air sungai. Bila melihat lembangan beberapa buah sungai utama seluruh negara, kita akan terfikir apakah mustahil kita kembalikan air sungai seperti dahulu, jernih, menarik dan sedap mata memandang.

Anak-anak mandi-manda, boleh ambil air dan terus minum. Itulah kebiasaan aku waktu kecil. Sungai jernih dan ikan pun banyak.

- Advertisement -

Kini atas nama pembangunan, atas nama keperluan ekonomi negeri, atas nama keperluan makanan dan atas pelbagai sebab atau alasan, ribuan hektar balak ditebang, ribuan hektar tanah digondolkan, ribuan hektar diratakan.

Sungai menanggung derita ribuan tan tanah, pasir, batu dan lumpur memenuhi anak sungai terus berkumpul, memenuhi setiap alurannya, setiap parit, setiap anak sungai, setiap sungai utama. Air jernih bertukar menjadi lumpur, berselut, berkelapangan, berbau.

Anak-anak tidak lagi ghairah mandi-manda di sungai kerana airnya telah hanyir dan berselut lumpur. Ikan semakin pupus, hidupan air semakin hilang, lubuk-lubuk dalam bertukar menjadi cetek, alur air tersekat dek lumpur dan pasir yang memenuhi setiap alur air.

Di saat nelayan sungai mengeluh kehilangan hasil, muncul pula golongan kapitalis, pemodal besar dan penguasa tersenyum lebar.

Kepala mula menghitung ratusan ribu malah jutaan hasil akan diperolehi dengan jualan pasir. Permit dikeluarkan atas nama mendalamkan sungai, mengelak banjir, membantu penternak ikan sangkar kononnya atau letaklah atas apa nama yang kamu suka.

Hakikatnya sungai akan terus merintih, bertempik meraung. Walaupun raungannya semakin hilang, perlahan dan yakinlah ia akan lenyap.

Kamu tidak akan mendengar lagi deruan air dijeram, kamu tidak akan mendengar lagi deruan air terjun dan kita semua akan menangis di atas kematian sungai kita.

Kita akan bertempik bila loji terpaksa ditutup. Pekerja di loji akan mencengkam mata, bermandikan peluh, memerah akal mencari jalan.

Biar bekalan dapat disalur kembali, orang ramai dapat semula bekalan air, industri berjalan, keperluan dapat dipenuhi.

Namun hakikatnya buldozer terus menggila di hulu sungai. Lori balak terus keluar masuk tanpa henti. Ladang terpaksa dibuka bagi memenuhi keperluan makanan dan keperluan negara. Penggemar musang king menunggu buah masak.

Sabarlah kerana ribuan hektar tanah telah digondolkan, sabarlah kerana ribuan pokok telah ditanam. Pedulikan yang bertempik bantah, pedulikan NGO yang berdemo, pedulikan peraturan yang digubal.

Kita perlukan pembalakan lestari, ladang yang lestari, pembangunan yang mematuhi peraturan. Kita bukan tiada peraturan, atau kerasnya undang-undang. Namun yang tidak ada ialah kebertanggungjawaban, sikap dan kerakusan.

Selagi sikap ini terus semarak, ketamakan terus serlah, keegoan bermaharajalela, kelestarian tidak dipeduli, peraturan diketepikan, kelestarian alam tidak dipelihara, selagi semua ini tidak dibendung, maka kita akan mendengar orang-orang tua bercerita, dulu sungai ini jernih sangat, di sana dulu ada jeram, banyak sangat ikan kelah, tengas, jelawat.

Dulu hutan ini banyak binatang, kijang, rusa seladang pun ada. Dulu, di sini ada lubuk yang dalam, seronok mandi-manda, bila dahaga kami minum airnya jernih sangat. Orang tua itu bercerita sambil air matanya mengalir, sedih hiba dan kecewa.

DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN,
Menteri Alam Sekitar dan Air,
4hb Nov 2020
Putrajaya – HARAKAHDAILY 4/11/2020

- Advertisement -