Ramai teruja meniti Denai Sungai Kebangsaan

Tuan Ibrahim ketika merasmikan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di Kampung Pulau Tengah Kubang Kerian.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Ramai tidak melepaskan peluang berswasfoto di Denai Sungai Kebangsaan (DSK) yang dibina kerajaan di Kampung Pulau Tengah Kubang Kerian.

Titi dibuat daripada kayu itu dibina memanjang di atas Sungai Pengkalan Datu. Laluan kayu disokong dengan batang nibong itu dibina bermula di Min House Camp.

Titi itu menelusuri hutan bakau dan pokok nipah berakhir di belakang Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Program pelancongan tersebut merupakan inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) yang merancang membina Denai Sungai Kebangsaan sepanjang 1,000 kilometer pada tahun 2023.

Titi kayu itu dirancang dibina sepanjang 10,000 km menjelang tahun 2030. Denai sungai sepanjang kira-kira 1 km itu sekarang menjadi tumpuan ramai selepas tular di laman media sosial.

- Advertisement -

Ia kini menjadi satu lagi destinasi pelancongan menarik di Kelantan. Perasmian Denai Sungai itu dilakukan Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sempena sambutan Hari Alam Sekitar dan Hari Sungai Sedunia 2020 baru-baru ini.

Lokasi itu sebelum ini merupakan sebuah perkampungan kecil yang terpinggir daripada arus pembangunan, namun kini bertukar wajah dengan kunjungan orang ramai setiap hari.

Penghulu Mukim Pulau, Zamri Awang berkata, dahulu kampung terbabit tidak mempunyai daya tarikan, namun selepas pembinaan denai sungai tersebut semuanya berubah.

Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di Kampung Pulau Tengah Kubang Kerian.

“Setiap hujung minggu ratusan pengunjung datang sama ada ke Min House Camp dan belakang HUSM untuk melihat sendiri lokasi menarik tersebut.

“Mereka seperti teruja dapat berjalan di atas jambatan kayu sejauh 1 km bersama keluarga dan kawan-kawan,” ujarnya ketika ditemui. – HARAKAHDAILY 4/11/2020

- Advertisement -