Pindaan Akta 502 beri impak kepada ekonomi negara

SAYA ingin menzahirkan rasa bersyukur kerana berpeluang membahaskan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) pada sidang kali ini. Hal ini kerana, saya yakin pindaan ini memberi kesan yang besar kepada ekonomi negara. 

Umum ketahui, sektor koperasi memainkan peranan penting sebagai ejen atau pemangkin kepada pembangunan usahawan, terutama bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana.

Buktinya, setelah hampir 100 tahun gerakan koperasi digerakkan, sehingga kini telah menghasilkan keanggotaan seramai 6.09 juta ahli dan mempunyai 14,625 buah koperasi di seluruh Malaysia.

Advertisement

Namun yang demikian, masalah tadbir urus antara faktor terbesar kepada kegagalan sesebuah koperasi untuk terus berkembang terutama isu penyelewengan yang sering berlaku dalam sesebuah koperasi.

Oleh itu, dalam perbahasan tersebut saya ada membangkitkan cadangan agar jawatankuasa audit dalaman yang telus dan bebas wajar ditubuhkan dalam meningkatkan amalan tadbir urus korporat yang baik.

Justeru, saya berharap agar pindaan yang dibuat menggalakkan lebih ramai rakyat untuk menubuhkan koperasi bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, pada masa yang sama aspek pengurusan wajar diberi perhatian serius.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 4/11/2020