Papisma sambut baik kaji akta pilihan raya

KANGAR: Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Perlis menyambut baik langkah kerajaan mengkaji mewujudkan akta tertentu melibatkan proses pilihan raya bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengerusi PAPISMA Perlis, Dr Wan Mohd Ridzuan Wan Hassan berkata, usaha itu wajar diketengahkan supaya peningkatan kes Covid-19 dapat dikekang.

Katanya, pengajaran terhadap apa yang berlaku di Sabah ketika kempen pilihan raya negeri pada September tidak boleh dipandang mudah.

Advertisement

“Banyak pendekatan lain yang boleh digunakan selain daripada mengadakan perhimpunan ketika pilihan raya terutamanya berkempen melalui media sosial.

“Selain itu kempen juga boleh diadakan melalui televisyen di mana rata-rata rakyat di negara ini mempunyai peti televisyen,” katanya di sini, hari ini.

Kelmarin, ketika menjawab soalan di parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kerajaan akan mengkaji cadangan mewujudkan akta tertentu melibatkan proses pilihan raya bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menurutnya juga, pilihan raya di Sabah pada September lepas yang membabitkan perhimpunan mengakibatkan peningkatan kes Covid-19 di negara ini. – HARAKAHDAILY 4/11/2020