Jangan gadai tanah NCR kepada orang asing

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sarawak diminta memastikan supaya penduduk yang telah diberi hak milik tanah tidak menjual atau mengadaikan tanah mereka kepada orang asing hanya untuk menjadi cepat kaya.

Advertisement

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, kerajaan negeri mesti menggunakan akta kod tanah atau tindakan yang melarang atau menyekat tindakan menjual tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) oleh individu.

“Usaha semasa Kerajaan Sarawak untuk mengeluarkan surat hak milik tanah seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri harus dihargai.

“Tetapi jangan biarkan pemilik tanah yang sudah diberi surat hak milik tanah daripada menjual tanah adat ini kepada orang asing selain daripada kaum kerabat atau saudara mereka sahaja,” ujarnya.

Kelmarin, Kerajaan Sarawak memgumumkan sebanyak 35,840 lot individu tanah NCR melibatkan kawasan seluas 44,607 hektar telah berjaya diukur dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah seperti termaktub di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Tegas Jofri, walaupun itu adalah hak milik mereka, tetapi untuk memastikan masa depan nasib orang asal dan agar tanah Bumiputera tidak jatuh ke tangan orang asing, pemerintah mesti berbuat demikian.

Pada masa ini menurutnya, banyak tanah orang asal bertukar tangan dengan orang asing dan pastinya tidak mahu suatu hari nanti orang asal tidak memiliki tanah atau menjadi pelarian di tanah air mereka sendiri.

“Pemerintah Sarawak tidak boleh membiarkan mereka hidup dalam kemiskinan dan harus menolong mereka membangunkan tanah yang mereka miliki sehingga dapat digunakan untuk menyara kehidupan mereka seperti pertanian, ternakan, dan sebagainya.

“Jangan hanya memberi ikan tetapi memberi alat memancing supaya mereka dapat hidup berdikari hasil usaha mereka sendiri. Sekiranya anda sudah ada surat hak milik tanah, gunakanlah yang terbaik untuk manfaat anda sendiri dan juga untuk negara,” serunya.

Menurut beliau, masalah surat hak milik tanah seperti yang termaktub di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri seharusnya sudah lama diselesaikan, tetapi setiap kali ada pilihan raya, isu pemilikan tanah dimainkan untuk menarik perhatian masyarakat.

Katanya, selama beberapa dekad, isu tanah NCR sukar diselesaikan, kerana beberapa pemilik asal telah meninggal dunia tanpa dapat menuntut hak mereka disebabkan mungkin anak cucu mereka tidak mendapat maklumat mengenai tanah mereka.

“Bila tidak dituntut akhirnya dilupuskan atau dikembalikan ke status tanah kerajaan apabila tidak dituntut oleh waris mereka. Banyak tanah orang asal berketurunan Melayu dipinggiran bandar yang dianggap sebagai tanah kerajaan.

“Ini setelah banyak waris tidak dapat menuntut hak milik tanah nenek moyang mereka yang selama ini tidak diberikan hak milik tanah semasa mereka masih hidup,” ujarnya mengenai masalah itu. – HARAKAHDAILY 4/11/2020