Bahasa Melayu perkukuh asas perpaduan

- Advertisement -

IPOH: Usaha untuk memartabat Bahasa Melayu perlu dipergiat agar asas-asas perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dimantapkan, selain memulihkan kembali kewibawaan Bahasa Kebangsaan itu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria berkata, masyarakat hari ini berdepan cabaran dalam mengangkat kembali martabat Bahasa Melayu yang pernah menjadi lingua franca oleh lebih 200 juta penduduk Nusantara.

“Ketika era media sosial kian mencengkam pemikiran masyarakat kita, Bahasa Melayu itu sendiri ada kalanya dilihat sudah menjadi pilihan kedua semata-mata kerana mahu menampakkan pemilik akaun di media sosial itu lebih terkehadapan.

“Penutur Bahasa Melayu tidak boleh diperlekeh atau dilabel bahasa kampung, sebagai individu yang lahir dan membesar di Malaysia, kita perlu sentiasa ada perasaan sayang dan berbangga dengan bahasa ini,” ujarnya semasa Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Forum IPG Peringkat Kebangsaan Kali Ke-10 di sini semalam.

Namun jelasnya lagi, pemerkasaan Bahasa Melayu tidak bermakna pengajian Bahasa Inggeris perlu diketepikan, penguasaan kedua-dua bahasa perlu seimbang tanpa membelakangkan Bahasa Kebangsaan.

“Dalam masa sama, janganlah kita lupa untuk memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris, atau jika berkemampuan, belajarlah bahasa-bahasa lain. Tiada salahnya untuk kita berbuat demikian asal Bahasa Melayu menjadi tunjang,” jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan negeri komited untuk memantapkan kecintaan rakyat terhadap Bahasa Melayu yang dapat dilihat melalui teras pertama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dengan meletakkan usaha pemerkasaan bahasa itu sebagai strategi utama. – HARAKAHDAILY 4/11/2020

- Advertisement -