Tingkatkan perkhidmatan jalur lebar ke luar bandar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kadar penembusan jalur lebar yang masih rendah atau kelajuan internet yang kurang memuaskan di kawasan luar bandar perlu diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

- Advertisement -

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohd Yusrizal Yusoff berkata masyarakat luar bandar termasuk peniaga kecil kini amat bergantung kepada perkhidmatan itu terutama bagi memasarkan produk mereka.

“Ada rungutan daripada penduduk kampung mengenai kesukaran untuk mendapatkan talian internet untuk mereka memasarkan produk buatan sendiri dengan lebih meluas dalam usaha menambah pendapatan.

“Contohnya di kawasan Padang Terap, ada kawasan yang liputan internet sangat perlahan. Kita tahu ada penduduk kampung yang buat dan jual kerepek dan tikar mengkuang, tetapi disebabkan masalah talian internet kurang memuaskan, ia membantut usaha mempromosikan produk mereka,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Menurutnya, berikutan perkhidmatan internet yang kurang memuaskan itu peniaga kecil di kawasan luar bandar tidak dapat menjana pendapatan yang lebih baik disebabkan pasaran yang terhad.
 
Katanya, dalam situasi pandemik COVID-19 ketika ini, akses perkhidmatan jalur lebar yang baik adalah satu keperluan asas yang amat penting lebih-lebih lagi bagi sektor perniagaan dan pendidikan.

“Kebanyakan IPT (institut pengajian tinggi) mengambil inisiatif untuk mengadakan kelas ataupun peperiksaan secara dalam talian. Ini menyukarkan pelajar yang berada di kawasan kurang liputan (internet).

“Pelajar-pelajar juga perlu mendapatkan bahan-bahan pembelajaran melalui internet. CAKE sedar pelajar yang berada di kawasan kurang liputan mengalami masalah untuk mendapatkan bahan-bahan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan segera menangani keadaan ini dengan menambah baik infrastruktur jalur lebar di kawasan luar bandar dan inisiatif lain yang mungkin dapat membantu masyarakat menikmati kemudahan internet yang lebih baik. – BERNAMA

- Advertisement -