Sambut baik keputusan Arab Saudi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menyambut baik keputusan kerajaan Arab Saudi yang memberi kebenaran kepada jemaah luar negara untuk mengerjakan ibadah umrah selama 10 hari dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Luar, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataan bersama berkata Kementerian Luar Negeri dan JPM akan bekerjasama rapat dalam usaha memastikan umat Islam di Malaysia turut dapat mengerjakan umrah di Tanah Suci.

Dalam pada itu, pihak kementerian juga akan mendapat khidmat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, kerajaan akan terus memantau situasi Covid-19 khususnya di Malaysia dan akan meneliti dari semasa ke semasa SOP ibadah umrah yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

- Advertisement -

“Kerajaan akan melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat Malaysia khususnya jemaah umrah yang bakal ke Tanah Suci kelak.

“Bagi kerajaan, keselamatan dan kesihatan jemaah umrah Malaysia merupakaan keutamaan tertinggi,” katanya hari ini.

Sebelum ini, menerusi laporan Saudi Gazette yang memetik sumber Kementerian Haji dan Umrah memaklumkan bahawa kebenaran terhad kepada jemaah berusia 18 hingga 50 tahun selepas permit kebenaran untuk jemaah luar Arab Saudi dikeluarkan mulai 1 November.

Bagaimanapun, antara arahan yang telah ditetapkan para jemaah perlu menjalani kuarantin selama tiga hari sewaktu ketibaan di negara itu.

Selain itu, jemaah perlu mempunyai sijil ujian kesihatan PCR yang menunjukkan mereka bebas Covid-19.

Dalam pada itu, syarikat umrah perlu mengesahkan maklumat tepat berdasarkan pasport jemaah termasuk tarikh lahir, sekurang-kurangnya 34 jam sebelum hari ketibaan.

Jemaah juga perlu dibahagikan kepada kumpulan dengan minimum seramai 50 jemaah dalam satu kumpulan dan melantik seorang ketua untuk mengawal setiap kumpulan berkenaan. – HARAKAHDAILY 3/11/2020

- Advertisement -