Mantan Timbalan PJ PAS Melaka selamat jalani pembedahan

Foto ABU ANAS
- Advertisement -

TANGGA BATU : Pesuruhjaya PAS Melaka, Dato’ Ustaz Kamarudin Sidek menziarah mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Halim Maidin yang telah selamat menjalani pembedahan baru-baru ini di kediaman beliau di Taman Sri Tanjung, Kampung Gelam, di sini, pagi tadi.

- Advertisement -

Ustaz Abdul Halim, 61, pada Khamis malam 22 Oktober lepas telah melalui satu pembedahan di Hospital Melaka bagi membuang sebahagian kaki kiri beliau sehingga ke paras paha akibat daripada penyakit kencing manis yang dihidapi beliau.

Ustaz Kamarudin ketika ditemui wartawan berkata ziarah yang dilakukan ini adalah untuk bertanya khabar dan melihat sendiri keadaan beliau selepas menjalani pembedahan itu.

“Alhamdulillah pada pagi ini PAS Negeri Melaka dan PAS Kawasan Tangga Batu melakukan kunjungan ini di mana baru-baru ini dimaklumkan beliau telah ditimpa satu musibah hasil daripada penyakit yang beliau hidapi sekian lama, di mana kakinya terpaksa dipotong.

“Kita telah ziarah dan bertanya khabar kepada beliau. Insya-Allah, selepas daripada kakinya dipotong itu nampak kesihatannya bertambah baik, selera makan pun ada.

“Kita di peringkat PAS Negeri Melaka menyampaikan ucapan takziah kepada beliau dan keluarga beliau. Mudah-mudahan Allah SWT beri cepat kesembuhan kepada beliau agar dapat sama-sama membantu perjuangan PAS.

“Dan di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada beliau kerana beberapa hari yang lepas beliau telah dianugerahkan satu pingat iaitu BCM (Bintang Cemerlang Melaka) oleh TYT Gabenor Negeri Melaka di atas sumbangan dan perkhidmatan beliau kepada masyarakat.

“Mudah-mudahan penganugerahan bintang tersebut dapat mengubati perasaan dukacita beliau yang telah ditimpa musibah ini.

“Harap dapat kita berdoa terus kepada Allah SWT supaya diberi kekuatan kepada beliau dan keluarga beliau menanggung sedikit kesabaran yang mereka hadapi.”

Sementara itu Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin yang turut sama dalam lawatan itu turut menzahirkan rasa lega melihat keadaan Ustaz Abdul Halim yang semakin sihat selepas lebih seminggu selamat menjalani pembedahan itu.

“Saya mewakili PAS Kawasan Tangga Batu berdoa supaya beliau tabah dan bersabar menghadapi ujian ini dan dibalas oleh Allah sebagai suatu amal baik atas kesabaran beliau.

“Kita berharap beliau masih boleh menyumbang tenaga dan buah fikiran kepada PAS, khususnya PAS Kawasan Tangga Batu untuk kita mengorak langkah, khususnya dalam suasana politik hari ini.” ujar beliau.

Ustaz Abdul Halim yang terharu dengan kunjungan itu menzahirkan ucapan terima kasih atas tanda ingatan daripada rakan-rakan pimpinan di peringkat Badan Perhubungan PAS Melaka dan PAS Kawasan Tangga Batu itu.

“Kunjungan ini dapat memberi semangat pada diri saya sendiri. Sebab keadaan saya yang telah dipotong kaki sehingga ke paha.

“Jadi keadaan ini mungkin akan mengubah norma baru dalam hidup saya dan pergerakan dalam perjuangan saya dalam parti ini.” ujar beliau.

Ketika diminta untuk memberikan nasihat untuk anak-anak muda yang aktif di dalam perjuangan PAS ini nasihat beliau:

“Saya harap sahabat-sahabat kita terutama di kalangan anak-anak muda ini jadi iktibar dalam perjuangan kita. Kita kena ada semangat baru. Dan saya insya-Allah, saya takkan berhenti daripada perjuangan ini walau pun pergerakan saya terhad.

“Saya berharap pada semua mendoakan saya sembuh, sihat. Suatu benda (perjuangan PAS) yang mesti kita teruskan.

“Dan bagi mereka jangan berputus asa, kena istiqamah dan terus memberi sumbangan pada parti kita.” kata Ustaz Abdul Halim mengakhiri perbualan.

Kunjungan ini turut disertai oleh beberapa orang pimpinan daripada Badan Perhubungan PAS Melaka dan PAS Kawasan Tangga Batu. – HARAKAHDAILY 3/11/2020

- Advertisement -