Malaysia bakal tubuh Lembaga Angkasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020 yang bertujuan menubuhkan Lembaga Angkasa Malaysia dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang yang dibentang Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin itu  antaranya menyatakan fungsi Lembaga Angkasa Malaysia iaitu menasihati kerajaan serta memastikan pelaksanaan berkesan akta itu kelak, selain mengeluarkan garis panduan dan arahan berkaitan akta itu.

- Advertisement -

Selain itu, rang undang-undang berkenaan menetapkan mana-mana pihak yang berniat membina, mengilang serta memiliki atau mengendalikan kemudahan untuk penyepaduan atau pengujian objek angkasa selain memiliki dan mengendali kemudahan pelancar perlu memohon suatu lesen. 

Bagaimanapun, Seksyen 15 rang undang-undang itu menyebut angkasa hendaklah digunakan bagi tujuan keamanan dan tidak boleh antaranya meletak, memasang, melancar atau mengendalikan apa-apa senjata pemusnah besar-besaran di angkasa.

Dalam pada itu, mengikut Seksyen 41 (1) rang undang-undang itu, individu yang menemukan objek berasal dari angkasa perlu memaklumkan mengenai penemuan berkenaan.
 
Mana-mana individu boleh didenda tidak melebihi RM5,000 dan maksimum RM10,000 bagi pertubuhan perbadanan jika gagal berbuat demikian.

Mengikut Seksyen 42 (1) rang undang-undang itu pula, mana-mana individu yang menemukan objek angkasa tidak boleh mengusik, mengalihkan, merosakkan atau memusnahkan objek itu kecuali jika perlu berbuat demikian bagi mencegah bahaya.

Jika melakukan kesalahan itu, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 dan maksimum RM20,000 bagi pertubuhan perbadanan.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 untuk bacaan kali pertama. – BERNAMA

- Advertisement -