Kira-kira 4 juta dapat manfaat – KSM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hampir empat juta individu dan majikan mendapat manfaat hasil inisiatif ditawarkan kerajaan sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

Kementerian Sumber Manusia memperkenalkan pelbagai inisiatif di bawah Pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan, PENJANA dan Kita PRIHATIN bagi menstabilkan ekonomi negara dan membantu majikan yang terkesan agar dapat mengekalkan pekerja mereka.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, sehingga 16 Oktober lalu, seramai 340,252 individu mendapat manfaat daripada pelaksanaan Employment Retention Programme (ERP) melalui PERKESO dengan peruntukan sebanyak RM211.33 juta.

Katanya, PERKESO telah menerima 331,950 permohonan majikan melibatkan 2.7 juta pekerja melalui Program Subsidi Upah (PSU) dan RM11.9 bilion telah dimanfaatkan oleh para majikan.

Manakala, PSU 2.0 memberi manfaat kepada 36,910 permohonan majikan dan melibatkan 386,000 individu bermula 1 Oktober sehingga 16 Oktober lalu, ujarnya kepada HarakahDaily, hari ini.

- Advertisement -

Dalam pada itu Awang berkata, pihaknya menjalankan pelbagai program di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja yang juga melibatkan golongan orang kelainan upaya (OKU) dan berjaya melandaikan kadar penganguran sebanyak 5.3 peratus kepada 4.7 peratus bermula Mei 2020 sehingga Ogos 2020.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan penurunan setiap bulan bagi rekod kehilangan pekerjaan bermula kes pada Jun 2020 (18,579) dan menurun sehingga 6,052 kes pada bulan lalu.

“Antaranya Program MyApprentice menempatkan 4,433 perantis, Program HireMalaysia seramai 51,020 pekerja bawah 40 tahun dan 7,705 orang atas 40 tahun berjaya ditempatkan.

“Selain itu, Insentif Pengambilan Pekerja Tempatan dalam kalangan OKU dan peserta program Return to Work PERKESO berjumlah 322 orang mendapat pekerjaan.

“Di samping Bantuan Mobiliti secara one-off kepada pekerja yang berpindah dari lokasi tempat bermastautin ke tempat kerja baharu memberi manfaat kepada 3,477 individu,” ujarnya seraya berkongsikan maklumat berkenaan program latihan untuk pekerja berdasarkan keperluan majikan berjaya memanfaatkan 7,759 orang pekerja.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pendang turut memaklumkan, kementeriannya melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) telah melancarkan inisiatif PENJANA HRDF dengan memperkenalkan lima skim terdiri daripada Place and Train, B40 Development, SME Development, Industrial Revolution 4.0, dan Gerak Insan Gemilang (GIG).

Menurutnya, skim-skim ini bertujuan membantu rakyat dalam mendapat penempatan pekerjaan, self-employed serta menambah dan meningkatkan kemahiran mereka.

Sehingga 16 Oktober lalu, PSMB telah meluluskan seramai 35,938 pelatih bagi mengikuti skim-skim yang melibatkan penempatan pekerjaan dan self-employment tersebut.

Ujarnya lagi, PSMB telah menawarkan Pengecualian Bayaran Levi selama enam bulan kepada semua majikan berdaftar di bawah Akta PSMB 2001 bermula pada April sehingga September lalu.

Beliau berkata, PSMB juga tidak mengutip levi berjumlah RM480 juta pada tahun ini dan ia disalurkan kepada majikan bagi memudahkan aliran kewangan terdiri daripada 63 sub-sektor meliputi tiga sektor utama ekonomi iaitu perkilangan, perkhidmatan, serta perlombongan dan pengkuarian. –HARAKAHDAILY 3/11/2020

- Advertisement -