Kesan Pilihan Raya Presiden kepada hubungan negara

KUALA LUMPUR: Hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) semakin kukuh dalam enam dekad terakhir di setiap sektor, dan ini kemungkinan besar tidak akan berubah walau siapa pun memenangi persaingan Presiden Amerika Syarikat (AS) hari ini (3 November), menurut penganalisis.

Advertisement

Profesor Madya Dr Muhamad Takiyuddin dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata kedua-dua negara bekerjasama untuk mengekalkan hubungan yang bermanfaat dalam mencapai faedah bersama dari segi perdagangan.

“Berdasarkan perubahan yang tidak ketara semasa bekas Presiden AS Barack Obama dari Parti Demokrat dan Presiden Donald Trump terhadap hubungan Malaysia-AS, saya dapat menyimpulkan bahawa siapa pun yang menang pilihan raya esok, hubungan Malaysia-AS kemungkinan besar tidak akan berubah,” katanya kepada Bernama  dalam temu bual di telefon.

Pilihan Raya Presiden AS 2020, dijadualkan esok, akan menjadi pilihan raya presiden yang diadakan setiap empat tahun untuk kali ke-59, yang akan menyaksikan persaingan sengit antara Presiden Republikan Trump yang akan mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua, dan saingannya dari Parti Demokrat, Joe Biden.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan AS terjalin pada 31 Ogos 1957, ketika AS menaik taraf pejabat konsulatnya di Kuala Lumpur menjadi Kedutaan.

Mengulas lebih lanjut, Muhamad berkata dasar Obama telah membantu memperkukuhkan hubungan dua hala antara Washington dan Kuala Lumpur, manakala hubungan Malaysia-AS terus berkembang dan tetap kukuh semasa era Trump walaupun terdapat beberapa masalah tertentu.

“Kedua-dua negara terus menjaga hubungan baik antara satu sama lain terutama dari segi perdagangan.

“Malaysia dan AS telah mengetepikan ketidaksamaan dan ketidaksepakatan mereka terhadap isu-isu tertentu untuk mencapai kemakmuran ekonomi bagi kedua-dua pihak,” tambahnya.

AS adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia.

Menurut analisis WorldCity menerusi data Biro Bancian AS terbaru, perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat meningkat kepada US$35.44 bilion sepanjang lapan bulan pertama 2020.

Mengenai sokongan AS terhadap Malaysia dalam perselisihan Laut China Selatan (SCS), Muhamad berkata, AS nampaknya merupakan pelaku yang tepat untuk menyeimbangkan dominasi China di SCS dan “tanpa AS, China terus meluaskan pengaruh mereka di SCS tanpa had ”.

Penasihat Undang-Undang UKM dan pakar dalam Undang-Undang Antarabangsa, Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir, berkata beliau ingin melihat presiden AS yang baru dipilih melonggarkan sekatan perdagangan yang dikenakan ke atas negara-negara membangun.

“Mungkin jika boleh, mengembalikan non-kuota untuk negara-negara membangun (untuk tujuan perdagangan) seperti (apa yang) dilakukan semasa pentadbiran Obama,” tambahnya.

Mengulas mengenai kerjasama AS dan Malaysia dari segi latihan ketenteraan, beliau berkata  Malaysia sering diundang ke latihan ketenteraan tahunan Cobra Gold yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat dan Thailand.

Cobra Gold kini merupakan latihan ketenteraan multinasional Indo-Pasifik terbesar yang diadakan di Thailand setiap tahun.

Bagaimanapun, pakar geostrategik terkenal Dr Azmi Hassan berkongsi perspektif yang berbeza.

Beliau berpendapat, jika Biden memenanginya, beliau akan membawa lebih banyak positif ke arah dinamik hubungan.

“Sekiranya Biden menang, hubungan dua hala Kuala Lumpur-Washington akan “lebih adil dan seimbang,” katanya.

Azmi berkata mengenai isu antarabangsa, beliau percaya Biden akan lebih rasional dan mendengar pandangan pakar-pakarnya, dan tidak akan bertindak sesuka hati.

Azmi berkata Biden juga diharapkan dapat melembutkan sikap AS terhadap China, dan pendekatan yang lebih rasional dan progresif terhadap isu-isu Laut China Selatan.

“Hubungan AS-China yang mesra, misalnya, akan memberi kesan yang baik kepada kita … ia akan membuka lebih banyak pasaran untuk eksport kita dan tidak diragukan lagi semasa era Biden, penglibatan AS dalam SCS akan lebih rasional dan bukan disebabkan presiden AS mahu menjaringkan satu mata terhadap Presiden (Presiden China) Xi (Jinping),” katanya. – BERNAMA