Kedah mohon pampasan khas pengorbanan kekal tanah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah berharap agar Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan pampasan khas berikutan pengorbanan negeri itu menyediakan kawasan tanah sawah untuk menjamin bekalan beras negara, selain pengekalan hutan simpan sebagai kawasan tadahan hujan.

- Advertisement -

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya memohon agar cadangan itu dipertimbangkan di dalam Belanjawan 2021 kerana  kesanggupan kerajaan negeri tidak  menukarkan tanah pertanian kepada tanah komersial yang boleh mendatangkan hasil cukai lebih tinggi.

“Diharap kerajaan pusat dapat memperuntukkan sebanyak RM130 juta setahun untuk Kedah bagi pengekalan hutan simpan, manakala tanah-tanah pertanian yang dikhususkan untuk tanaman padi jika diubah syarat komersial mampu meningkatkan kutipan cukai tanah sehingga kira-kira RM1.7 bilion.

Jadi untuk guna tanah bagi penghasilan beras untuk negara, kita harap Kerajaan Persekutuan hargai pengorbanan Kerajaan Kedah dan memperuntukkan bayaran khusus 10 peratus daripada nilai cukai itu (RM170 juta),” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya selain menyediakan bekalan air untuk rakyat negeri ini, kawasan tadahan di Hutan Simpan Ulu Muda turut membekalkan air bagi tujuan tanaman, kegunaan domestik dan industri untuk Pulau Pinang serta Perlis, melalui tiga empangan utama iaitu Pedu, Ahning serta Muda.
 
Sehubungan itu, katanya penyediaan sebahagian besar kawasan tanah di Kedah sebagai sumber air dan tanah pertanian untuk bekalan makanan negara wajar mendapat pampasan yang setimpal.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata Kedah juga memerlukan peruntukan khusus untuk ‘mencergaskan’ sektor ekonomi termasuk pertanian, pembinaan, pelancongan, peniaga kecil, perniagaan dalam talian serta peruncitan.

“Bagi sektor pertanian misalnya, kita berharap supaya ada mekanisme dan dana khas untuk penstabilan harga komoditi seperti getah misalnya.

Selain itu peruntukan benih yang mencukupi dan berkualiti sangat penting bagi meningkatkan penghasilan padi, manakala bantuan untuk ternakan ayam, itik, lembu, kambing perlu disalurkan kepada golongan B40 yang berkelayakan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -