KASA bantu sedia penyelesaian isu bekalan air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) setakat ini tidak bercadang untuk membayar pampasan kepada pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air.

Menteri KASA, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, KASA menyediakan penyelesaian dan melaksanakan beberapa alternatif bagi menangani isu gangguan bekalan air.

Mengulas panjang lebar pada sidang Dewan Rakyat pagi tadi katanya, antara alternatif tersebut adalah meningkatkan kapasiti air terawat supaya apabila berlaku gangguan sumber air, ‘reserve margin‘ boleh menampung bekalan air sekurang-kurangnya tiga hari.

Katanya lagi, pihaknya memperluaskan Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang boleh menampung paling tidak sekurang-kurangnya bekalan air untuk dua minggu sekiranya punca air habis atau tercemar.

Alternatif lain katanya, membina denai sungai bagi memastikan tidak ada pembuangan sampah dan sisa kumbahan ke dalam sungai.

- Advertisement -

“Bagi persoalan yang dibangkitkan tadi apakah kita menyediakan ganti rugi, untuk makluman hingga akta yang kita jalankan ini tidak melibatkan ganti rugi kepada pengguna.

“Alternatif yang kita fikir, kita nak selesaikan kalau berlaku pencemaran (sungai), pengguna tidak terhenti bekalan air.

“Hingga setakat ini kementerian masih tidak bercadang untuk membayar pampasan kepada pengguna tapi mencari alternatif supaya gangguan bekalan air tidak terganggu,” kata Tuan Ibrahim.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian dalam sesi jawab lisan bagi menjawab soalan tambahan Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Bandar Baharu) yang mencadangkan sama ada KASA bercadang untuk membayar pampasan kepada pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air.

Tuan Ibrahim juga menjawab soalan tambahan daripada Dato’ Sri Hassan Arifin (BN-Rompin) sama ada KASA bercadang untuk mengenakan hukuman penjara mandatori kepada individu pesalah yang didapati bersalah mencemarkan sungai.

Ujar Tuan Ibrahim, sehingga setakat ini kementerian belum bercadang untuk melaksanakan hukuman penjara mandatori.

Namun pihaknya sedang mengkaji untuk meningkatkan kadar hukuman denda misalnya daripada RM100,000 kepada RM10 juta dan penjara setahun sehingga ke 15 tahun.

“Saya fikir dengan peningkatan kedua-duanya sekali kita yakin mampu mencegah unsur-unsur pencemaran tersebut,” ulasnya. – HARAKAHDAILY 3/11/2020

- Advertisement -