Eksplorasi idea pelaksanaan Program Sungai Angkat

SEMENJAK YB Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air, antara gagasan yang sering beliau uar-uarkan ialah menjadikan sungai-sungai yang ada di seluruh negara dipulihara oleh NGOs atau komuniti-komuniti setempat. Beliau menamakannya sebagai Program Sungai Angkat Kebangsaan. Gagasan Ustaz Tuan Ibrahim ini selari dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperkenalkan oleh PAS, iaitu kerajaan dan rakyat bekerjasama dalam menjadi kebajikan rakyat termasuklah alam sekitar mereka.

Bagaimanapun, pelaksanaan Program Sungai Angkat Kebangsaan ini agak tertunda disebabkan negara dilanda dengan Wabak COVID-19 yang menyebabkan agenda pelaksanaannya sering tergendala. Saya sendiri pernah mengadakan perbincangan dengan beberapa NGOs seperti MAYC, Akademi Kawan dan lain-lain, bagaimana program ini dapat dimulakan segera. Selain daripada hambatan Wabak COVID-19, salah satu yang turut menjadi halangan ialah konsep atau idea yang berkaitan ‘Sungai Angkat’, apakah ia dan bagaimana pelaksanaannya? 

Advertisement

Pada 1 November 2020, saya telah turun ke Kampung Batu 8, Sijangkang, Selangor diiringi oleh YB ADUN kawasan tersebut, Dr Ahmad Yunus Hairi, bagaimana sebuah sungai di kampung tersebut telah diambil sebagai Sungai Angkat oleh komuniti penduduk setempat. Dr Ahmad Yunus sendiri antara penggerak awal, dan komuniti ini bermula dengan zero dari segi kewangan. Mereka yang berbekalkan keikhlasan dan semangat kesukarelaan, telah memulakan dengan melakukan pembersihan sungai yang sebelum ini menjadi tempat longgokan sampah.

Sedikit demi sedikit selepas sungai itu bersih, mereka membangunkan fasiliti untuk berehat dan beriadah, hasil dari sumbangan barang-barang binaan terpakai oleh penduduk kampung. Seterusnya mereka telah menanam semula pokok-pokok bakau yang sebelum ini menjadi ‘ladang bakau terbuka’ untuk ditebang oleh pihak-pihak tertentu. Bermula daripada itu, pelbagai pihak termasuk syarikat, universiti dan lain-lain mulai menyokong usaha murni yang dijalankan. Daripada tempat yang menjadi longgokan sampah, sekarang kawasan itu menjadi tempat rekreasi, berehat malah lapangan penyelidikan pelajar-pelajar IPT.

Kejayaan komuniti ini memulihara sungai dan kawasan bakau ini telah mendapat pengiktirafan pelbagai pihak termasuk daripada badan-badan berkaitan alam sekitar dari luar negara. Kawasan Sungai Angkat ini juga telah meraih beberapa anugerah berkaitan pemuliharaan sungai dan ekologi lestari. Setelah saya pulang dari Sijangkang, fikiran saya mulai ringan sedikit, idea mula mencurah-curah bagaimana gagasan untuk melaksanakan Program Sungai Angkat Kebangsaan ini boleh dimulakan.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Setiausaha Politik Kepada Menteri Alam Sekitar dan Air – HARAKAHDAILY 3/11/2020