UniMAP sambut baik inisiatif KPT sedia pakej data

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyambut baik inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyediakan pakej data dan peranti untuk kemudahan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Naib Canselornya, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, peruntukan sebanyak RM3.8 juta disediakan KPT sebagai bantuan tunai kepada pelajar yang baharu mendaftar di semua IPT.

Katanya, langkah tersebut bagi menyemarakkan semangat pelajar melalui fasa baharu di alam pengajian tinggi.

Advertisement

“Minggu pendaftaran dan suai kenal merupakan detik cukup berharga buat pelajar baharu membiasakan diri dengan kehidupan kampus.

“Namun pada sesi kali ini pengalaman baharu itu terpaksa dilupakan seketika dan hanya mengikuti PdP dari kediaman masing-masing,” katanya pada satu kenyataan di sini semalam.

Baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Noraini Ahmad melancarkan Pakej Pelan Data dan Peranti kepada pelajar IPT melibatkan peruntukan hampir RM40juta.

Dr R Badlishah juga berkata, insentif yang disediakan kepada pelajar terutama pakej pelan data interaktif dapat memberi lebih pilihan untuk pelajar memilih pelan data dengan liputan terbaik mengikut lokasi masing-masing.

“Dalam situasi sekarang kepelbagaian tawaran oleh syarikat telekomunikasi merupakan antara elemen penting bagi memastikan pelajar diberi pilihan nilai yang terbaik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/11/2020