Titah bijaksana, tangani Covid-19 dan wabak politiking

- Advertisement -

TIDAK mudah untuk membuat keputusan yang berhikmah bagi menangani wabak pandemik Covid-19 yang berkembar dengan wabak politiking. Kedua-duanya mempunyai virus masing-masing, ghaib yang sukar dilihat, cuma dapat didengari dan dilihat kesan serta baunya sahaja yang telah menimpa rakyat yang menjadi mangsa. Inilah cabaran kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

- Advertisement -

Sudah banyak negara mengisytiharkan darurat, termasuk negara maju seperti Jepun, Amerika dan Eropah. Mereka mengisytiharkan perintah darurat sekurang-kurangnya dalam kawasan tertentu bagi tempoh tertentu atau darurat bagi seluruh negara tanpa menunggu keadaan menjadi lebih parah.

Negara Malaysia mempunyai kehebatan walaupun tidak setaraf dengan negara besar yang maju, namun mampu menangani isu yang paling rumit dan bermasalah.

Isu yang berlaku bukan sahaja wabak Covid-19, termasuk juga wabak politiking. Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja tidak terlibat dengan politik dan tidak wajar sama sekali terlibat, tetapi mereka bersama rakyat jelata bagi menghadapi wabak politiking yang sedang menggila secara terbuka dan senyap. Rakyat masih dapat mendengar suara hiruk-pikuk di media sosial dan arus perdana dengan dihidu bau yang hapak.

Pada masa yang sama, wabak Covid-19 masih mencari mangsa yang kini belum ada sebarang tanda yang dapat menghalangnya daripada terus merebak ke seluruh dunia, sekalipun dapat ditangani buat sementara waktu. Perkara ini berlaku kerana sehingga kini masih belum ditemui vaksin yang dapat menghalang dan kaedah mengubatinya dengan cara yang paling berkesan.

Serangan gelombang pertama dan kedua yang telah berlalu, meragut jutaan nyawa manusia, kemudiannya diikuti dengan gelombang ketiga yang belum diketahui penghujungnya, tetapi perjalanannya belum sampai ke tanda penamat. Belum diketahui adakah muncul lagi gelombang berikutnya? Namun terkini sudah ramai anggota pasukan hadapan khususnya anggota polis dan ahli keluarga masing-masing menjadi mangsa sehingga mencecah angka puluhan ribu.

Malaysia sudah menimba pengalaman yang berharga pasca PRN Sabah yang bertukar menjadi kawasan zon merah selepas berakhirnya pilihan raya. Kini mereka sedang menunggu untuk mengadakan PRK Batu Sapi yang menjadi cabaran atau cagaran baharu kepada pegawai SPR, seluruh petugas dan pengundinya. Kalau sekadar lembu punya susu, sapi punya nama tidak menjadi masalah. Namun apa yang lebih merisaukan adalah kesan buruk yang tidak boleh dijangkakan kepada rakyat Malaysia.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja adalah sangat berhikmah dalam menghadapi wabak politiking dengan menangguhkan perisytiharan darurat.

Walau apa jua perkembangan Covid-19 yang diuar-uarkan, tetapi ia menyelamatkan daripada riwayat yang boleh menyatakan bahawa KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dipengaruhi oleh wabak politiking yang sedang dihadapi. Sekurang-kurangnya bukan kerana dipengaruhi oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional yang sedang menangani wabak pandemik Covid-19. Hanya Tuanku sahaja yang selamat dahulu daripada wabak politiking. Tetapi patik-patik ini belum tentu lagi.

Kita perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku. Adakah nasihat Majlis Raja-Raja supaya semua pihak menghentikan politiking itu benar-benar menjadi vaksin terhadap wabak? Perbahasan Belanjawan 2021 pun belum berlangsung lagi.

Seterusnya, adakah boleh diberikan jaminan bahawa negara dan rakyat akan terselamat daripada penularan wabak pandemik Covid-19? Bagaimana pula sekiranya virus ini merebak, lalu gagal dihalang dengan kemasukan pendatang tanpa izin yang membawa wabak sehingga merebak lagi?.

Walaupun negara kita selamat daripada wabak Covid-19, kerana dapat dihalang virus yang membawanya, tetapi apabila jalan-jalan tikus lebih banyak dibuka, maka ia akan menjadi seperti cerita hikayat ikan todak menyerang Temasik pada zaman dahulu kala (kini Singapura), jika kemasukan pendatang tanpa izin begitu ramai tanpa boleh dikawal.

Apabila Malaysia menerima hukuman oleh masyarakat antarabangsa atas nama hak kemanusiaan pendatang, bukannya kemanusiaan rakyat sendiri, maka cadangan darurat yang ditangguhkan laksana hukuman bunuh yang dijatuhkan oleh Raja Temasik ke atas pemuda yang mencadangkan batang pisang bagi menukar betis dan melawan ikan todak yang menyerang.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ، وَالْوَاقِعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا، وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا، وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا، فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا.

Bandingan mereka yang bertanggungjawab menegakkan sempadan Allah (penguatkuasaan hukum) dan mereka yang diambil tindakan laksana mereka yang diatur dalam sebuah bahtera (kapal). Ada yang diletakkan di atas dan ada yang diletakkan di bawah. Apabila kalangan yang berada di bawah memerlukan air, mesti melalui mereka yang berada di atas. Lalu mereka berkata: ‘Tebukkan sahaja kapal ini tanpa peduli terhadap mereka yang berada di atas kerana tidak mahu menyusahkan mereka.’ Jika dibiarkan mereka bertindak mengikut kemahuannya nescaya semuanya binasa (tenggelamkapalnya). Jika dihalang nescaya semuanya selamat.[Riwayat al-Bukhari 2493]

Kita tidak mengetahui mereka yang membawa penyakit wabak politiking ini, mungkin menjadi penebuk kapal yang menjadi contoh kepada negara kita Malaysia yang tercinta ini.

Adapun keputusan Kabinet yang mencadangkan agar darurat itu dilaksanakan ibarat pemuda yang dihukum bunuh oleh Raja Temasik pada zaman dahulu kala.

Wallahu A’lam.

DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 2 November 2020 / 16 Rabi’ul Awwal 1442 – HARAKAHDAILY 2/11/2020

- Advertisement -