Tatap anak sulung selepas tujuh bulan

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu bas yang bekerja di Singapura akhirnya dapat pulang menemui keluarga terutama bayi sulungnya selepas terpisah sejak tujuh bulan lepas kerana kekangan tugasan di republik itu akibat pandemik COVID-19.

- Advertisement -

Pertama kali dapat menatap Nur Afeeya Humaira yang berusia enam bulan di depan matanya sendiri, Muhammad Fadlie Md Yunos, 30, berkata perasaannya sukar digambarkan dengan kata-kata dan bersyukur anak dan isterinya, Norazrin Mohamad Apandi, 27, dalam keadaan sihat.

Katanya, selama ini dia hanya mengubat kerinduan terhadap isteri dan anak melalui panggilan telefon dan video yang menjadi rutinnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lepas selain melihat gambar dan rakaman video di telefon pintarnya.

“Pada mulanya saya tidak risau untuk meninggalkan isteri yang sarat mengandung lapan bulan kerana menyangka PKP hanya dua minggu sahaja, namun saya mula risau kerana saya tiada di sisi isteri ketika dia bersalin kerana PKP dilanjutkan.

“Nasib baik keluarga kami dapat membantu untuk menjaga isteri. Saya pula hanya mampu berada di sisi isteri secara maya di dalam bilik bersalin melalui panggilan video sahaja,” kata anak kelahiran Melaka itu sewaktu ditemui di rumahnya di Taman Bukit Aliff di sini. 
 
Katanya, sebaik selesai menjalani kuarantin, cuti seminggu yang diberikan majikan digunakan sebaik mungkin dengan membawa isteri dan puteri sulungnya itu bercuti ke Cameron Highlands sebelum kembali bertugas di negara jiran itu kelmarin.

Muhammad Fadlie yang bekerja di Singapura lebih 10 tahun itu berkata cabaran pandemik COVID-19 ini memerlukan persediaan dari segi mental dan fizikal selain sentiasa berfikiran positif demi mencari sesuap nasi untuk keluarga tercinta.

Dia juga berharap agar pandemik ini beransur pulih dan sempadan Malaysia-Singapura dapat dibuka seperti sediakala selain menasihati rakan seperjuangannya agar sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – BERNAMA

- Advertisement -