Tangguh sidang hingga jam 1

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang memulakan persidangan pada hari ini hanya bersidang sehingga jam 1 petang dan ditangguhkan sampai 10 pagi esok.

Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dato’ Takiyuddin Hassan mengusulkan kepada persidangan Dewan Rakyat berkata keputusan itu dibuat berdasarkan peraturan Mesyuarat 12(1).

- Advertisement -

Katanya lagi, penangguhan ini telah mencapai persetujuan bersama selepas dibincangkan dalam mesyuarat khas yang telah diadakan pagi tadi.

“Mesyuarat tersebut diadakan adalah untuk semua wakil-wakil Ahli Yang Berhormat membincangkan satu perkara yang diberi keutamaan dalam persidangan ini.

“Dua keutamaan iaitu yang pertamanya keutamaan usaha untuk menangani masalah Covid-19.

“Kedua keutamaan sidang Parlimen yang memberikan fokus kepada bajet 2021,” kata Takiyuddin.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan serta semua wakil-wakil parti iaitu Ketua Whip Parlimen.

DAP diwakili oleh Ahli Parlimen Seremban, PKR diwakili Ahli Parlimen Sungai Petani, Amanah diwakili Ahli Parlimen Hulu Langat dan Warisan diwakili Ahli Parlimen Labuan.

Menurut Takiyuddin lagi ia juga dibuat setelah mengambil kira gelombang ketiga penularan Covid-19 yang mencatatkan rekod kes tinggi dari semasa ke semasa.

Selain itu katanya bangunan Parlimen terletak di dalam kawasan Parlimen Segambut, dan ianya di bawah pentadbiran Pusat Daerah Kesihatan Kepong

“Mesyuarat tersebut telah mengambil beberapa ketetapan. Yang pertamanya satu norma baharu berhubung dengan persidangan terpaksa diambil berdasarkan kepada faktor-faktor tadi dengan syarat apa-apa yang dilakukan oleh pihak dari dewan ini tidak menjejaskan hak ahli-ahli Parlimen untuk bertanya soalan, untuk berbahas dan untuk mengundi di dalam dewan ini,” kata Takiyuddin.

Sim Tze Tzin (DAP-Bayan Baru) bangkit memohon penjelasan tentang usul berkenaan memandangkan Dewan Rakyat telah membuat persediaan yang rapi.

“Saya amat terkejut jika masa bersidang ini dipendekkan sehingga jam 1 tengah hari, kerana kita ada banyak perkara yang perlu dibahaskan dan kalau kita pendekkan masa untuk dewan bersidang akan terjejas dan urusan Ahli Parlimen akan terganggu,” kata Bayan Baru.

Menjawab isu dibangkitkan itu, Takiyuddin menekankan persidangan ini mengambil kira segala pandangan yang diberikan oleh semua pihak tanpa prejudis.

“Satu perkembangan yang saya nak beritahu sepatutnya tak patut diwar-warkan kepada awam, beberapa kakitangan Dewan Negara telah disahkan Covid-19.

“Dijangka ada Ahli Dewan Negara yang kemungkinan positif kerana pegawai tersebut adalah attach kepada Ahli Dewan Negara ini dan mempunyai kaitan keluarga. Jadi itu perkembangan yang membimbangkan kita.

“Saya rasa ahli-ahli berhormat dapatkan penjelasan daripada ketua whip masing-masing yang telah bersetuju untuk kita buat sedikit adjustment berhubung dengan tempoh masa persidangan, tidak ada persidangan di sebelah petang,” ulas Takiyuddin. – HARAKAHDAILY 2/11/2020

- Advertisement -