Speaker DUN Selangor tidak hormati identiti negara

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini kecoh apabila Speaker, Ng Suee Lim menegur lima ADUN pembangkang yang tidak mematuhi kod pemakaian apabila memakai baju Melayu.

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan bersama Muafakat Nasional Selangor yang diketuai oleh Ketua Penerangan PAS, Ustaz Syarhan Humaizi Halim dan Ketua Penerangan Umno, Dato’ Abdul Rahman Bakri menyangkal tindakan yang dilakukan oleh Suee Lim.

“Negara dan negeri yang mempunyai identiti kebangsaan yang dipegang bersama oleh seluruh rakyat berbilang kaum sejak merdeka, sikap begini menjadi tanda tanya kepada rakyat.

“Siapa yang mengurus Negeri Selangor sehingga baju kebangsaan pun tidak dibenarkan untuk dipakai di Sidang DUN?

“Tidak sepatutnya baju kebangsaan atau baju sut Melayu menjadi sejenis pakaian yang dilarang pemakaiannya di Sidang DUN Selangor,” katanya hari ini.

Menurutnya, tidak wajar baju Melayu hanya boleh dipakai pada hari Jumaat sahaja kerana sudah menjadi lumrah, baju kebangsaan melangkaui sempadan bangsa seperti Bahasa Malaysia adalah bahasa Melayu, yang akan diguna pakai oleh semua rakyat sebagai lambang kebanggaan dan kenegaraan Malaysia.

“Bahkan di Parlimen pun, tiada larangan sedemikian. Asalkan berbaju melayu lengkap atau baju kebangsaan ianya dibenarkan.

“Itu simbol yang perlu dijaga oleh semua rakyat terutama pemimpin-pemimpin negara atau negeri yang dipilih oleh rakyat. Perkara asas begini tidak dapat dijaga dan diuruskan, bagaimana hendak diharapkan perkara yang lebih besar,” ujarnya lagi.

Jelasnya, tindakan Speaker Dewan daripada DAP itu sengaja untuk mewujudkan suasana tidak harmoni.

Katanya, isu ini bukan hanya berlegar dalam Dewan Negeri Selangor tetapi kini sudah menjadi tanda tanya besar bagi rakyat Selangor apakah ia benar-benar merupakan ketetapan di Dewan Negeri Selangor atau hanya sikap prejudis Speaker daripada DAP yang tidak menjaga sensitiviti rakyat? – HARAKAHDAILY 2/11/2020

- Advertisement -