Pusat pemprosesan getah berkelompok bakal diperkenal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan memperkenalkan Pusat Pemprosesan Getah Berkelompok melalui pakej teknologi pemprosesan getah krip dan serum getah bersepadu bagi memajukan sektor getah.

Menurut Menteri KPPK, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, pembangunan model tersebut diusahakan bagi memajukan rantaian nilai sektor huluan getah untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah di Malaysia yang telah dibangunkan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Tambah beliau, pengenalan Pusat Pemprosesan Getah Berkelompok kepada sektor huluan industri getah dilihat dapat membantu pekebun kecil dalam memasarkan hasil pengeluaran getah mereka dengan harga yang berpatutan.

Ia merupakan komitmen Khairuddin bersama KPPK sendiri untuk memastikan pekebun kecil getah memperoleh harga yang sewajarnya selain meraih pendapatan yang setimpal dengan usaha mereka.

- Advertisement -

“Melalui projek ini, rantaian nilai bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan elemen pemprosesan berkelompok (kluster) dan perkongsian keuntungan (profit-sharing) akan dilaksanakan pada peringkat pekebun kecil, koperasi dan juga usahawan.

“Usaha ini akan meningkatkan kualiti getah yang dihasilkan, meningkatkan pendapatan dan seterusnya menjamin bekalan getah berkualiti kepada industri pembuatan produk getah negara.

“Ini seterusnya akan dapat mengekalkan daya saing industri getah sebagai peneraju pengeluar getah dan produk getah berkualiti di peringkat global,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Justeru itu, bagi merealisasikan usaha tersebut, KPPK akan mempertimbangkan dana awal sebanyak RM6 juta melalui agensi Majlis Getah Malaysia (MRC) dengan kerjasama LGM untuk melaksanakan projek tersebut.

Selain itu, KPPK juga menyarankan agar pekebun kecil yang berminat untuk menyertai projek tersebut untuk menubuhkan koperasi getah di kawasan masing-masing.

“Ianya, sebagai persediaan awal seperti mana dirancang untuk pelaksanaan sepenuhnya pada tahun 2021,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 2/11/2020

- Advertisement -