Peranan aktif Raja-raja Melayu

DALAM tempoh seminggu dua ini perkembangan dalam negara sangat menarik perhatian ramai. Ia bermula dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menolak nasihat Perdana Menteri untuk mengisytiharkan darurat dan seterusnya Yang di-Pertuan Agong menzahirkan hasrat agar Bajet 2021 diluluskan.

Sebenarnya tindakan proaktif Raja-raja Melayu sebegini telah dapat dilihat sejak beberapa tahun lalu di mana baginda Raja-raja Melayu sudah mula keluar menyatakan pandangan baginda mengenai sesuatu isu sama ada senada dengan pihak kerajaan atau sebaliknya.

Sesuai dengan fungsi Raja-raja sebagai payung negara, rakyat menerima dan menghargai perubahan peranan ini yang sudah lama dinantikan. Berbalik kepada isu penolakan nasihat Perdana Menteri tadi, ada yang mempertikaikan keupayaan Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan tersebut kerana Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong terikat dengan nasihat Perdana Menteri.

Advertisement

Hal ini perlu dikupas dengan terperinci dengan membaca Perlembagaan Persekutuan secara bersesama dan bukan diasing-asingkan. Memang benar Perkara 40 memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong terikat dengan nasihat Perdana Menteri.

Namun jika kita lihat Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai darurat kita akan dapati seperti berikut:

150. (1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

Perkara penting dalam Perkara 150(1) di atas ialah Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam terancam. Oleh itu syarat yang jelas di sini ialah Yang di-Pertuan Agong mestilah berpuas hati akan fakta di atas.

Jika nasihat diberikan Perdana Menteri masih gagal memuaskan hati Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka Baginda tidak boleh mengisytiharkan darurat. Inilah yang berlaku sehingga baginda menolak untuk membuat proklamasi darurat.

Oleh itu tidak timbul persoalan keputusan Seri Paduka Baginda bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Seri Paduka Baginda pula membuat keputusan atas kapasiti sebagai Yang di-Pertuan Agong, oleh itu ia tidak boleh dicabar di mahkamah. Ia tidak termasuk dalam apa-apa perkara yang dinyatakan dalam Perkara 182 Perlembagaan yang boleh dibicarakan di Mahkamah Khas.

Saya teringat tahun lepas pihak kerajaan cuba mengusulkan suatu Rang Undang-undang bagi meminda Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan. Rang Undang-undang yang dibentang oleh Perdana Menteri ketika itu gagal diluluskan oleh Dewan Rakyat. Apakah yang berlaku selepas itu?

Kerajaan masih berjalan seperti biasa dan tiada siapa pun yang meletak jawatan. Jika pindaan perlembagaan yang sangat penting pun gagal dan tiada peletakan jawatan, inikan pula proklamasi darurat.

Mengenai titah Yang di-Pertuan Agong mahukan Bajet 2021 diluluskan, ia bukanlah mencampuri urusan politik tetapi Seri Paduka Baginda sangat mementingkan kesejahteraan rakyat. Bayangkan jika bajet ini tidak diluluskan.

Apakah akan jadi kepada negara? Apa yang ditekankan oleh Yang di-Pertuan Agong bukannya mencampuri urusan politik. Seri Paduka Baginda mempunyai obligasi berperlembagaan untuk menjalankan pemerintahan yang adil sebagaimana sumpah Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual Keempat Perlembagaan.

DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR 
Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia – HARAKAHDAILY 2/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.