Pembangkang juarai usul undi tidak percaya

Foto sekadar hiasan
- Advertisement -

ANALISIS: Hari ini bermula mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14. Persidangan itu bermula 10 pagi dengan menjawab soalan-soalan dikemukakan Ahli-ahli Parlimen (MP).

Itu rutin biasa yang berlaku setiap kali persidangan Parlimen. Namun persidangan Parlimen kebelakangan ini dikaitkan dengan usaha menjatuhkan kerajaan yang ada.

- Advertisement -

Persidangan Parlimen Julai lepas juga agenda serupa diuar-uarkan. Semuanya kerana Perikatan Nasional (PN) memiliki majoriti tipis.

Majoriti kecil memberi ruang pembangkang mengugutkan kerajaan.

Sejak PN mentadbir Putrajaya Mac lepas sudah dua kali disebut kerajaan di bawah Muhyiddin Yassin akan tumbang.

Kali pertama ketika Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) 2020 dibentang.

Gagal usul itu bermakna kerajaan yang ada hilang kepercayaan. Namun apa yang berlaku pada Ogos dan September lepas berbeza. Dewan Rakyat meluluskan juga rang undang-undang tersebut.

Kemudian diikuti Dewan Negara. Rang undang-undang itu dibentang Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz diluluskan suara majoriti di Dewan Negara.

Pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi tersebut membabitkan peruntukan RM45 bilion. Ia merangkumi program subsidi upah, insentif pengekalan pekerjaan dan pelbagai perkara.

Dan persidangan kali ini juga isu serupa dijaja lagi. Dimarak lagi dengan senarai usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri dikemukakan 25 MP pembangkang.

Mengambil kira koleksi usul tersebut kerajaan PN disebut berada di hujung tanduk. Namun usul terbabit berada di kedudukan ke-19 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul.

Era ketuanan mana sekalipun usul kerajaan menjadi prioriti. Ia berlaku di era kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH).

Jadi tidak pelik apabila usul tidak percaya boleh terperap begitu sahaja. Situasi yang berlaku sekarang sebenarnya bukan perkara baru.

Debar 2004

Malah keadaan mendebarkan pernah berlaku di Kelantan pada 2004. Debar kerana kerajaan PAS mentadbir dengan kelebihan satu kerusi Dun.

PAS di Kelantan bukan sahaja diasak pembangkang, sebaliknya kerajaan pusat turut memandang sebelah mata.

Musuh berada di sekeliling pinggang. Namun empat tahun debar itu berjaya diharungi.

Bekas Adun Chetok Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman mendedahkan beliau turut ditawar wang supaya meninggalkan PAS ketika itu.

“Saya tidak pilih umpan yang ditawarkan. Sebaliknya kita kena ingat kerja buat sekarang ada hubung kait dengan akhirat,” katanya baru-baru ini.

Maka tidak hairanlah situasi serupa boleh berlaku sekarang. Selagi pendukung PN ada jati diri, kerajaan yang ada sekarang diyakini mampu dipertahankan.

Biarpun usul undi tidak percaya muncul setiap kali persidangan Parlimen, ia tidak lebih sebagai normal politik.

Politik ada hirup-pikuknya. Seperti juga usul memendekkan tempoh persidangan Parlimen sehingga jam 1 petang, ditentang silih berganti pembangkang.

Mereka amarah sungguh, kononnya kerajaan PN tidak telus. Ada pemimpin PH menyebut sebagai tidak berperlembagaan. Mereka juga membawa contoh persidangan Parlimen di luar negara.

Sekali dengar hebat hujah mereka. Namun tiada sesiapa pun berani meredah mutasi koronavirus. Seperti kata Menteri Hal Ehwal Parlimen Dato’ Takiyuddin Hassan, sanitasi dilakukan mengambil masa dua jam sebelum persidangan Parlimen bermula.

Menurutnya juga beberapa kakitangan Dewan Negara juga positif Covid-19. Cadangan pendekkan tempoh mesyuarat turut dikemukakan Kementerian Kesihatan.

Risiko tinggi sekiranya persidangan berlangsung dalam tempoh lama.

Biarpun pembangkang berdalih, namun usul persidangan Parlimen dipendek minggu ini akhirnya menjadi kenyataan.

Pada persidangan Parlimen sebelum ini pun pembangkang tidak mudah akur. Mereka tetap mahu dianggap wira.

Namun akhirnya mereka akur selepas riuh separlimen. Seperti kata Mak Cik Kiah seumpama ayam bertelur sebiji riuh sekampung. – HARAKAHDAILY 2/11/2020

- Advertisement -