Kuasa YDPA di bawah Perkara 150 Perlembagaan

PADA hari ini kita lihat begitu ramai cendikiawan termasuklah pengamal undang-undang yang menawarkan huraian Perkara 150. Isunya sama ada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong terikat dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu bertindak di atas nasihat Jemaah Menteri, atau menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri? 

Bagi kumpulan yang mendukung ‘school of thought’ berkiblatkan Westminster, mereka akan mempertahankan bahawa kuasa budi bicara Raja Berperlembagaan hendaklah terbatas, terhad setakat hanya diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam ruangan sempit. Konotasi mereka berpaksi pada premis bahawa kedudukan YDPA sama seperti Ratu England menurut kaca mata pasca Bill of Rights, 1689. Kumpulan ini sering membuat tafsiran berlandaskan hujahan ini ‘prinsip Raja Berperlembagaan’ mahupun itu ‘prinsip Raja Berperlembagaan’. 

Secara umumnya dapat dilihat betapa ramai yang terlepas pandang untuk membahaskan maksud sebenar Raja Berperlembagaan dan apakah sistem perlembagaan di Malaysia? Fahaman betul mengenai ‘Raja Berperlembagaan’ mampu membantu seseorang itu untuk mengulas dengan lebih adil kedudukan YDPA dan Raja-raja Melayu di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Advertisement

Perlu difahami bahawa ‘Raja Berperlembagaan’ itu tidak bermakna hanya YDPA atau Raja sahaja perlu memerintah mengikut perlembagaan. Hal ini kerana semua pihak yang diberikan kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman hendaklah mematuhi perlembagaan termasuklah seorang Perdana Menteri, menteri-menteri, hakim-hakim, Ahli-ahli Parlimen, serta pegawai-pegawai yang diberikan fungsi eksekutif. Itulah prinsip keluhuran perlembagaan yang menjadi tonggak pemerintahan Malaysia. Selama mana undang-undang itu digubal dan dikuatkuasakan mengikut prinsip Kedaulatan Malaysia, maka tertegaklah kedaulatan undang-undang atau maksudnya, ‘Rule of Law’. Prinsip kedaulatan Malaysia bolehlah dirujuk dalam buku berjudul ‘Kenegaraan Malaysia: Sejarah, Kedaulatan dan Kebangsaan’.

Selanjutnya, perlu difahami bahawa setiap kerajaan atau negara pastinya mempunyai perlembagaannya masing-masing sama ada bertulis atau tidak, terhimpun dalam sebuah buku atau berada dalam pelbagai sumber rujukan. Perlembagaan dengan kerajaan atau negara tidak boleh dipisahkan kerana perlembagaan itu cerminan sebuah kerajaan atau negara. Sama ada perlembagaan sebuah negara itu ditulis secara ringkas atau panjang lebar, itu merupakan bentuk perlembagaan masing-masing. 

Perlembagaan sesebuah negara boleh dirujuk melalui sumber bertulis mahupun amalan yang berlandaskan prinsip kedaulatan negara itu. Sebuah kerajaan atau negara tidak akan wujud tanpa perlembagaan kerana perlembagaan itu menjelaskan sistem politik, perundangan, kenegaraan, hal ehwal pentadbiran yang merangkumi fungsi organ-organ dalam pemerintahan serta perhubungan antara kumpulan memerintah dengan yang diperintah dan dengan pihak luar. Ringkasnya, perlembagaan itu ialah undang-undang sesebuah kerajaan atau negara berposisi sebagai rujukan tertinggi yang terkandung di dalamnya suatu sistem perlembagaan. Sistem perlembagaan menurut Ventar (2000) terdiri daripada falsafah, doktrin dan prinsip yang mendasari keseluruhan sistem sesebuah negara. 

Berdasarkan kedudukan di atas, kuasa YDPA mahupun Raja-raja Melayu tidaklah boleh ditafsirkan terbatas hanya kerana dipopularkan istilah ‘Raja Berperlembagaan’. Dalam sebuah negara yang ketuanya Presiden maka tidak salah dikatakan ‘Presiden Berperlembagaan’ namun begitu kuasa seorang Raja atau Presiden hendaklah dirujuk dalam undang-undang perlembagaannya.

Di dalam dunia pada hari ini, tiada negara yang mengisytiharkan negara itu tiada mempunyai perlembagaan, seperti dijelaskan dalam sejarah manusia, sebaik sahaja terdiri kerajaan maka terbangunlah perlembagaannya. Namun begitu setiap negara mempunyai bentuk dan ciri-ciri perlembagaan masing-masing yang dibina oleh prinsip kedaulatannya. Misalnya, Arab Saudi sebuah monarki yang mempunyai perlembagaan bertulis, rajanya mempunyai prerogatif yang luas begitu juga Sultan Brunei. Negara-negara tidak beraja seperti China, Russia dan Cuba meskipun mempunyai perlembagaan bertulis tetap memberikan kuasa yang luas kepada Presidennya.

Justeru, untuk memahami kedudukan sebenar YDPA dalam Perlembagaan Persekutuan, sama ada baginda mempunyai prerogatif untuk memutuskan sesuatu atau perlu bertindak di atas nasihat, rujukan perlu dibuat pada setiap peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan, bukan dibatasi dengan istilah ‘Raja Berperlembagaan’.

Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan prerogatif YDPA untuk mengeluarkan proklamasi darurat jika baginda ‘berpuas hati’ salah satu daripada 2 keadaan berikut:

(1) Sedang berlaku darurat besar,

(2) Hampir berlaku darurat besar,

yang boleh mengakibatkan implikasi berikut:

(1) Ancaman keselamatan, atau

(2) Ancaman kehidupan ekonomi, atau

(3) Ancaman ketenteraman awam,

di dalam Persekutuan, atau mana-mana bahagiannya.

‘Puas hati YDPA’ ialah pengecualiaan yang dibenarkan di bawah Perkara 40(1) kerana Jemaah Menteri atau seorang menteri tidak boleh menentukan kepuasan hati YDPA terhadap kewujudan mana satu keadaan-keadaan seperti di atas melainkan baginda sendiri. Malahan, jika YDPA berpuas hati sekalipun, baginda masih boleh menimbangkan faktor kewajaran untuk membuat proklamasi darurat.

Dalam hal berkaitan proklamasi darurat, nasihat di bawah Perkara 40(1) tidak terpakai maka Jemaah Menteri atau PM hanya boleh membuat permintaan kepada YDPA. Pemeliharaan prerogatif dalam Perkara 150 penting kerana darurat mengabsahkan suatu keadaan serta perjalanan sistem perundangan di luar amalan biasa. Justeru kuasa itu perlu dikekalkan dalam prerogatif YDPA.

Seksyen 28 di bawah Jadual Kesebelas [Perkara 160(1)] berhubung kaedah pentafsiran peruntukan perjalanan kuasa dan kewajipan tidak boleh diabaikan, berlandaskan kaedah pentafsiran tersebut maka YDPA berhak menentukan sendiri sama ada baginda berpuas hati atau tidak untuk mengeluarkan proklamasi darurat di bawah Perkara 150.

Selanjutnya, Perkara 150(8) menetapkan keputusan YDPA tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah. Itu bertujuan untuk melindungi prerogatif YDPA agar baginda dapat melaksanakan pertimbangan sehalus-halusnya selaras dengan kewajipan untuk berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negara.

Satu lagi isu penting yang dibangkitkan ialah struktur teras bagi Perlembagaan Persekutuan (Basic structure of the Federal Constitution). Untuk memberikan takrifan yang tepat mengenai struktur teras Perlembagaan, seseorang itu perlu terlebih dahulu memahami bahawa Perlembagaan Persekutuan diinstitusikan oleh Raja-raja Melayu berpaksi pada kedudukan mereka sebagai khalifah Allah S.W.T. Justeru, YDPA mempunyai kewajipan untuk memastikan pelaksanaan 3 cabang kuasa di bawah baginda iaitu perundangan, eksekutif dan pentadbiran keadilan mematuhi prinsip Kedaulatan Undang-undang. Perkara-perkara yang terkandung dalam struktur teras Perlembagaan Persekutuan ialah seperti termaktub dalam Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan. Sebarang dakwaan elemen tertentu sebagai struktur teras Perlembagaan Persekutuan jika bercanggah dengan prinsip kedaulatan Malaysia di bawah Perkara 181(1) serta Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) perlu diperbetulkan.

Perlu ditegaskan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf doktrin pemisahan kuasa seperti amalan Barat kerana pada institusi Raja terangkum tanggungjawab ke atas ketiga-tiga cabang kuasa tersebut di atas. YDPA ialah ketua utama dalam sistem politik negara justeru mana mungkin baginda tidak boleh mencampuri hal ehwal pemerintahan negara?

Ringkasnya, dalam Perkara 150, YDPA boleh memutuskan sendiri ‘kepuasan hati’ berlandaskan budibicara baginda kerana Perkara 150 jatuh di bawah pengecualian Perkara 40(1). Prerogatif atau budi bicara baginda dalam Perkara 150 merupakan ‘dalam apa-apa hal lain’ di bawah Perkara 40(2). Prerogatif YDPA dihuraikan secara mendalam dalam buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka berjudul ‘Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan’.

Akhirnya, mereka yang cuba menafikan hak kuasa YDPA ke atas hal ehwal pemerintahan negara perlu mentelaah semula Perlembagaan Persekutuan dan memahami sejarah perundangan watan Tanah air. Seruan ini dibuat agar mereka kembali ke pangkal jalan serta tidak lupa bahawa keamanan Malaysia turut disumbangkan oleh keutuhan institusi Raja, warisan kedaulatan watan Malaysia.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP – HARAKAHDAILY 2/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.