KPPK kempen galak pekerja tempatan

Foto FB Dato' Mohd Khairuddin Aman Razali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan, akan terus berusaha membantu sektor agrikomoditi mendapatkan pekerja melalui kempen menggalakkan penyertaan rakyat tempatan bekerja di sektor berkenaan.

- Advertisement -

Menurut Menterinya, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, KPPK berbesar hati dan mengalu-alukan penglibatan agensi pekerjaan tempatan untuk tampil serta membantu kementerian bagi menggalakkan rakyat tempatan bekerja di sektor tersebut.

Katanya, perkara ini penting agar usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dapat direalisasikan.

Kementeriannya juga menyedari bahawa kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan komoditi agak kritikal, dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi serta kemajuan industri agrikomoditi negara.

Oleh itu katanya, KPPK akan melipatgandakan usaha untuk mengisi kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan dan komoditi dengan mengadakan kempen untuk mengajak lebih ramai rakyat tempatan termasuk golongan Orang Asli bekerja dalam sektor itu.

Keutamaan hanya kepada rakyat tempatan bekerja di sektor perladangan dan komoditi selain memperkasa modal insan melalui latihan dan kursus di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

“Kerajaan amat memahami situasi yang dihadapi oleh pihak industri mengenai kekurangan tenaga kerja susulan pandemik Covid-19 yang kini berada pada gelombang ketiga.

“Pada masa yang sama, keselamatan rakyat Malaysia tidak boleh dikompromi,” kata Mohd Khairuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KPPK berpandangan bahawa kemasukan pekerja asing yang masih tidak dibenarkan ke negara ini adalah pendekatan terbaik dengan mengambil kira situasi semasa.

Tambahan pula, dalam keadaan ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan, adalah wajar penglibatan pekerja asing dihadkan.

Kini kerajaan juga kata Mohd Khairuddin sedang mempertimbang untuk memberikan permit sementara kepada pekerja asing tanpa izin di negara ini bagi menangani situasi kritikal di sektor sawit dan juga getah bagi bidang pekerjaan yang masih sukar menarik minat rakyat tempatan. – HARAKAHDAILY 2/11/2020

- Advertisement -