Ketepikan perbezaan politik demi rakyat

Foto FB Parlimen Malaysia
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dato’ Azhar Azizan Harun memulakan sidang Dewan Rakyat bagi sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini dengan memberi peringatan kepada semua Ahli Dewan Rakyat supaya mengenepikan perbezaan dan perbalahan politik dalam memainkan peranan untuk membendung wabak Covid-19.

- Advertisement -

“Saya mengajak semua Ahli Yang Berhormat tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa bagi membendung wabak Covid-19.

“Ini adalah demi keselamatan dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini selaras dengan titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika pemasyhuran daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Beliau turut menasihati semua Ahli Parlimen supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, Azhar memaklumkan bahawa Ahli Parlimen dari Sabah perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum hari persidangan ini.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama Ahli-ahli Yang Berhormat dari Sabah yang telah dan sedang menjalani tempoh kuarantin tersebut. Besar pengorbanan mereka sebenarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2020

- Advertisement -