Kesan bersifat sementara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesan negatif pertumbuhan ekonomi negara berikutan penularan pandemik Covid-19 hanya bersifat sementara dan dijangka akan kembali pulih pada tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, merujuk kepada beberapa petunjuk ekonomi yang telah menunjukkan prestasi lebih baik dalam tempoh Julai hingga September berbanding pada separuh pertama 2020.

- Advertisement -

Katanya, nilai eksport pada September meningkat sebanyak 13.6 peratus manakala nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 2.5 peratus.

“Jualan kenderaan penumpang bagi bulan September meningkat 8 peratus dan pasaran buruh kekal mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 4.7 peratus bagi Julai dan September,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Dato’ Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BERSATU-Sabak Bernam) mengenai impak ekonomi akibat pandemik Covid-19 kepada individu, isi rumah, syarikat perniagaan serta pelbagai sektor ekonomi negara.

Menurut Mustapa lagi, mengambil kira kedudukan ekonomi terkini, pertumbuhan ekonomi negara dijangka menguncup 5.5 hingga 3.5 peratus tahun ini.

Namun katanya, ekonomi dijangka berkembang semula tahun depan pada kadar 5.5 hingga 8 peratus.

Jelasnya, gelombang ketiga penularan Covid-19 meningkatkan semula kes hanya dalam tempoh sebulan lalu sehingga memaksa kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa buah negeri yang mungkin menjejaskan prestasi ekonomi bagi Oktober hingga November.

Sementara itu, Mustapa yang juga Ahli Parliman Jeli berkata pelbagai langkah bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan memelihara kesejahteraaan rakyat akan diperkenalkan dalam Bajet 2021.

“Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi kini sedang memuktamadkan penyediaan pelan pemulihan ekonomi jangka panjang Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan dibentangkan pada awal tahun hadapan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 2/11/2020

- Advertisement -