Kelantan sasar 200 hektar ladang kelapa pandan

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar Tuan Sarifudin Tuan Ismail menyampaikan benih kelapa matag kepada 30 peserta di Pejabat Pertanian, semalam.

PASIR PUTEH: Kerajaan Kelantan mensasarkan ladang kelapa varieti kelapa pandan dan matag seluas 200 hektar diusahakan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Hijau dan Alam Sekitar Tuan Sarifudin Tuan Ismail berkata, bagi menjayakan program itu peruntukan sebanyak RM400,000 disediakan kerajaan negeri.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM300,000 diperuntuk kerajaan negeri dan masing-masing RM50,000 oleh Jabatan Pertanian Kelantan dan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB).

Advertisement

“Benih kelapa dan racun diberi secara percuma kepada petani terutama mereka yang tinggal di 16 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang terletak di kawasan tepi pantai tahun ini,” katanya selepas menyampaikan benih kelapa matag kepada 30 peserta di Pejabat Pertanian di sini, semalam.

Menurutnya juga pada peringkat permulaan kerajaan negeri mensasar sejumlah 50 hektar ditanam kelapa varieti berkenaan sebelum diperluaskan membabitkan lebih banyak Dun di seluruh Kelantan tahun depan. – HARAKAHDAILY 2/11/2020