Kelantan bayar khidmat lebih masa petugas kesihatan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan menanggung kos perkhidmatan lebih masa pegawai kesihatan yang bertugas di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bagi menyekat penularan Covid-19.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Jefny Muhammad berkata, usaha itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keselamatan rakyat daripada wabak tersebut.

Katanya, Jabatan Kesihatan Kelantan menjalankan ujian saringan terhadap semua individu yang tiba di negeri itu dari zon merah seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah.

- Advertisement -

“Bagi memastikan keselamatan rakyat, kita tetap lakukan ujian di lapangan terbang, sampai kerajaan negeri menanggung kos termasuk kerja lebih masa sehingga larut malam.

“Ujian ini kita laksana sejak 22 September lalu dan kemudian pada 27 September kerajaan mengarahkan ujian itu dilaksanakan dari zon merah khususnya Sabah,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat MKN Kelantan di Bilik Gerakan Negeri Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Mesyuarat bagi edisi 17 itu dipengerusikan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad dan anggota Exco Dr Izani Husin.

Jefny juga berkata, kes Covid-19 di Kelantan masih dalam kawalan pihak
berkuasa, malah mempunyai kes positif paling rendah selepas Putrajaya dan Perlis. – HARAKAHDAILY 2/11/2020

- Advertisement -