KBBM perkukuh ekonomi domestik – KPDNHEP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) merupakan sebuah inisiatif kerajaan bagi mempertingkatkan penggunaan barangan tempatan dan mengukuhkan ekonomi domestik, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Dato’ Sri Hassan Arifin (BN-Rompin) yang meminta kementerian menyatakan apakah mekanisme pengukuran yang digunakan oleh kementerian bagi mengukur keberkesanan KBBM bagi membantu menggerakkan ekonomi selepas terkesan dengan wabak Covid-19.

Beliau berkata, keberkesanan KBBM ini secara khususnya diukur berdasarkan kepada mekanisme pelaporan jumlah nilai jualan di sektor peruncitan, pasar raya besar asing dan tempatan, pasar raya serta kedai serbaneka dan platform dalam talian (marketplace) yang turut serta di dalam KBBM yang juga menjadi rakan strategik KPDNHEP.

Selain itu, mekanisme pengukuran juga mengambil kira jumlah media viewership berdasarkan promosi-promosi KBBM melalui semua platform media di negara ini, meliputi pelbagai rangkaian yang terdiri daripada media cetak, media elektronik serta media sosial yang dilaksanakan sepanjang tahun ini.

“Pada suku ketiga tahun 2020, iaitu pada tempoh Julai sehingga September 2020, melalui inisiatif penembusan produk-produk buatan Malaysia dalam sektor peruncitan di pelbagai rangkaian pasar raya besar (hypermarket) luar negara dan tempatan, pelaksanaan KBBM ini telah berjaya mencatatkan impak positif peningkatan nilai jualan produk-produk tempatan yang signifikan,” katanya.

Selain itu katanya, nilai jualan bagi produk-produk buatan Malaysia juga telah mencatatkan peningkatan yang begitu besar di platform-platform perniagaan dalam talian (marketplace) utama di negara ini seperti Shopee, Lazada, PrestoMall dan PG Mall.

Pada suku ketiga tahun ini, nilai jualan produk-produk buatan Malaysia di marketplace utama adalah berjumlah RM43,533,645.57 berbanding pada suku pertama tahun yang sama yang berjumlah RM7,437,702.26, di mana peningkatan adalah sebanyak 485 peratus.

Bagi inisiatif promosi dan pelan media untuk mempromosikan KBBM secara menyeluruh, kementerian berjaya mencapai objektif yang disasarkan dengan jumlah capaian kumulatif melebihi 14,753,101 penonton dan pendengar bagi semua medium meliputi media cetak, media elektronik, media sosial dan media baharu yang melibatkan hampir semua pemilik media utama di negara ini.

Justeru tambah beliau, inisiatif KBBM yang dijalankan oleh kerajaan pada masa ini adalah begitu penting dan mampu menggerakkan semula permintaan domestik dan memulihkan sektor peruncitan khususnya dalam usaha untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat daripada pelaksanaan PKP dan penularan wabak pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 2/11/2020

- Advertisement -