Jangan meremehkan amaran pandemik COVID-19

- Advertisement -

JANGAN terlalu bermudah-mudah dengan COVID-19 dengan menganggapnya tidak serius dan tidak perlu ikut segala SOP yang kerajaan tetapkan. Kita boleh ambil iktibar dari seorang selebriti kecergasan bernama Dmitriy Stuzhuk dari Ukraine, mati akibat COVID-19.

Asalnya dia tak percaya wujudnya COVID-19. Katanya konspirasi dan lain-lain. Dia pergi Turki tanpa pakai mask dan bergaul bebas. Tidak ikut segala SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa di sana. Akhirnya apa terjadi? Beliau disahkan positif COVID-19 sekembalinya ke Ukraine. Sama ada sahih atau tidak, dunia dihebohkan beliau sudah mati akibat COVID-19 dalam usia yang muda. Semoga dijadikan pengajaran buat kita semua.

Nampaknya segelintir dari kita lebih pandai berteori melebihi pihak berkuasa yang bertungkus lumus memutuskan rantaian penyakit. Kononnya Pandemik COVID-19 sudah berakhir dan pandemik hanya sama dengan wabak selesema secara bermusim.

- Advertisement -

Mari kita perhatikan bagaimana COVID-19 menyerang manusia. Satu persatu kita pelajari dari virus yang baharu timbul atas muka bumi ini:

(1) COVID-19 terlalu cepat merebak dari individu ke individu lain walau hanya sekadar sentuhan atau pertemuan biasa yang tidak memakai pelitup separuh muka. Setelah dijangkiti, organ yang paling utama diserang adalah paru-paru. Di sanalah virus itu membiak dengan pantas. 

(2) Memang ya kadar kematian akibat COVID-19 adalah lebih kecil berbanding dengan selesema burung atau selesema khinzir atau selesema bermusim, tetapi magnitud kematian akibat COVID-19 adalah lebih besar buat masa ini berbanding dengan wabak selesema. Impaknya juga begitu besar di seluruh dunia. Hingga tarikh ini kematian seluruh dunia akibat COVID-19 adalah mencecah 1.2 juta. Kematian adalah sesuatu yang perlu diambil serius oleh pihak berkuasa kesihatan, bukannya main-main apabila melibatkan nyawa manusia, hatta mati seorang jiwa pun akan disiasat dengan terperinci.

(3) Vaksin COVID-19 masih lagi di peringkat percubaan. Belum lagi berjaya sepenuhnya untuk kegunaan umum. Ianya berbeza dengan penyakit berjangkit lain yang sudah lama ditemui vaksin. Perlu diingat, vaksin bukan segala-galanya, pencegahan dengan penjarakan fizikal, melindungi diri dengan memakai pelitup separuh muka adalah ‘vaksin’ yang paling berkesan buat masa ini.

(4) Sesuatu yang membimbangkan adalah, mekanisma jangkitan COVID-19 ini agak pelik. Setelah memasuki paru-paru, virus akan beredar ke sel darah dengan cepat. COVID-19 akan bertindak mengubah kimia darah sehinggakan darah terlalu cepat membeku. Keadaan ini merumitkan lagi rawatan. Sel-sel yang diserang virus COVID-19 terlalu mudah tergumpal (Fusing) dan akhirnya mengganggu sistem pembawaan oksigen ke seluruh badan, di samping paru-paru juga gagal untuk berfungsi dengan baik.

Saya setuju kita semua jangan cepat panik. Sehingga melakukan sesuatu tindakan yang berlebihan selain dari apa yang disarankan oleh pihak berkuasa. Namun perasaan bimbang perlu ada, agar kita senantiasa beringat-ingat dan tidak bermudah-mudah dengan garis panduan yang ditetapkan.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 2/11/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -