Elaun guru agama dakwah Perak dinaikkan

IPOH: Kerajaan Negeri berhasrat menaikkan elaun guru agama dakwah negeri Perak kepada RM900 berbanding RM400 sebelum ini yang bakal dilaksanakan selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata kenaikan tersebut disaran memandangkan elaun guru agama tidak pernah dinaikkan sejak lebih 10 tahun lalu.

“Kita dah bersetuju untuk menaikkan elaun ini memandangkan lebih dari belasan tahun elaun masih lagi RM400, jadi dengan kerja mereka yang cukup banyak, sesuailah dinaikkan.

“Kita akan sembah maklum terlebih dahulu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan sebelum melaksanakannya,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Perkaderan Dakwah Negeri Perak di sini semalam.

Menurutnya, pertambahan elaun tersebut akan mula dilaksanakan bermula Januari tahun hadapan yang akan memberi manfaat kepada seratus guru agama dakwah.

Dalam pada itu jelasnya, penambahan elaun bagi guru agama dakwah lain, masih dalam pertimbangan.

“Pendakwah lapangan sahaja yang dinaikkan setakat ini, seperti mereka yang berdakwah selain di masjid seperti ke perkampungan orang asli, tempat-tempat awam dan lain-lain.

“Untuk di masjid-masjid, sudah ada yang memberi fokus bagi program-program dakwah disana menerusi pengajian kitab, forum dan kuliah yang dijalankan oleh guru-guru takmir,” katanya.

Majlis perkaderan yang julung kalinya diadakan itu dihadiri 110 pendakwah dari seluruh negeri Perak.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Dato’ Mohd Yusop Husin bersama Timbalannya, Harith Fadzilah Abd. Halim dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, Zakaria Abd Razak. – HARAKAHDAILY 2/11/2020