Lemang To’ki harungi ujian era COVID-19

- Advertisement -

MAZLAN Ramli, bukanlah sesiapa; hidup tanpa nama sebagai seorang tukang kasut. Tetapi hari ini nama beliau meniti di bibir ramai orang sedikit demi sedikit melalui perniagaan Lemang To’ki.

- Advertisement -

Usahawan lemang anak jati FELDA Lurah Bilut yang mesra dengan panggilan ‘Cik Man’ ini telah memulakan perniagaan lemang sejak 16 tahun lalu. Menurutnya nama ‘To’ki’ merupakan gabungan dua panggilan datuk, iaitu ‘Tok’ bagi orang Perak dan ‘Aki’ oleh orang Pahang.

Awal Januari tahun ini, Kerajaan Negeri Pahang melalui kerjasama Majlis Perbandarab Kuantan dan Pejabat Pelancongan Pahang telah meletakkan Lemang To’ki sebagai salah satu daya tarikan. Sekali gus, lemang yang popular di Bentong ini turut sama membantu mempromosikan Serambi Teruntum di Kuantan.

Sudah sunnah orang berjuang, mereka tidak boleh lari daripada badai yang menerjang dunia perniagaan. Ditambah situasi pandemik COVID-19 yang masih belum nampak bayang reda ini merupakan antara ujian paling getir dan menyakitkan.

“PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) di Selangor dan Lembah Kelang baru-baru ini memang cukup mencabar. Kebanyakan pelanggan kami dari luar. Tapi saya rasa bersyukur masih mampu membayar gaji pekerja.

“Semasa tempoh (PKPB) sebelumnya dahulu, kami dikunjungi ramai pelanggan dan ada ketikanya kami jadi takut kalau-kalau dalam ramai-ramai itu ada yang membawa wabak.

“Jadi kami buat bungkus sahaja tak bagi makan di kedai untuk mengekang berlakunya penularan COVID-19 di Lemang To’ki,” jelas Cik Man.

Julai lalu, Lemang To’ki tidak lagi membenarkan para pelanggannya menikmati hidangan di premis utama dan cawangan keduanya di Bentong susulan penularan semula wabak COVID-19.

Notis yang berkuatkuasa sehingga 31 Ogos itu sebagai satu langkah mengekang penularan wabak COVID-19 yang kembali aktif ketika itu di beberapa buah negeri. Pihak pengurusan Lemang To’ki tidak membenarkan pelanggan menikmati hidangan di meja (dine-in) di dua rangkaian restoran mereka itu.

Baru-baru ini sebuah akhbar arus perdana telah melaporkan kesan pelaksanaan PKPB di Lembah Klang, di mana Restoran Lemang To’Ki di Bentong telah mengalami kekurangan pelanggan yang mendadak sehingga 80 peratus.

Ini seolah-olah memberi gambaran bahawa lebih separuh pengunjung Lemang To’ki disokong daripada warga Lembah Klang.

Destinasi tempat makan popular di Bentong ini sentiasa menarik kunjungan pasukan bermotosikal besar atau orang luar yang sedang travel ke Pantai Timur untuk berhenti makan, rehat, rawat dan solat.

“Mengapa pelanggan luar lagi ramai dibandingkan pelanggan tempatan? Ya mungkin orang tempatan berfikiran takpelah, Lemang To’ki ada di tempat kita bila-bila masa boleh pergi,” jawab Cik Man selari dengan pandangan penulis.

Masalah tempat letak kereta juga mungkin menjadi isu utama kenapa orang tempatan ‘merajuk’ dan kurang berkunjung ke sini kerana setiap kali hujung minggu Lemang To’ki memang ‘jammed’ teruk.

“Kami ada satu ekar tanah di Lemang To’ki dan memang ada cadangan nak buat di sana cuma perlu modal agak besar juga. Tapi bila berlaku situasi seperti hari ini, rasa letih sangat. Kita ni manusia biasa.

“Saya pun tak jangka jadi sebesar sekarang ni. Ia satu pengalaman hidup yang boleh dibukukan. Bila kita lihat dari sudut lain sebenarnya ada hikmah disebalik apa yang berlaku sehingga terjejas Lemang To’ki satu dan dua.

“Susah senang sudah diharungi. Satu saja yang saya takut. Takut nak melepaskan dunia bila tiba masanya. Doakan agar jadi terbaik di penghujungnya. Saya nak cari harta yg boleh dibawa ke sana,” begitu harapan tulus dan ikhlas Cik Man menutup perbualan. – HARAKAHDAILY 1/11/2020

- Advertisement -