Infak diri ‘pelaburan’ ke jalan Allah S.W.T

- Advertisement -

PAYA BESAR: Segala kesiapsiagaan dan gerak kerja yang dilaksana dengan menginfakkan diri kepada perjuangan Islam ini hakikatnya merupakan satu pelaburan kepada Allah S.W.T.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Muslimat (JPrM) Negeri Kelantan, Ilvira Dasuki berkata, ini kerana realiti jalan ditempuh ini tidak mudah, bahkan menuntut pula pengorbanan besar jiwa dan raga.

Beliau menyuntuk semangat peserta pada program Taujihat dan Motivasi JPrM PAS Parlimen Paya Besar bertajuk “Ke Arah PRU15: Bersediakah Kita?” secara maya menerusi Google Meet, kelmarin.

“Setiap apa yang kita lakukan merupakan ‘investment’ kepada Allah. Biar kita mati dalam perjuangan ini yang tiada hamparan permaidani merah, sebaliknya jalan berduri. Kerana syurga Allah itu tidak murah, kita perlu infakkan diri.

“Ini jalan perjuangan yang kita pilih, jadi kukuhkan niat,” ujarnya memetik ayat 60 surah al-Anfal sekali gus menyeru anggota mempersiapkan kekuatan dari sudut psikologi, teknik yang betul, kesediaan jiwa, kewangan serta tenaga.

Untuk meneguhkan diri ke kancah itu dan mendapat kasih Allah terangnya, anggota mestilah memenuhi tuntutan ayat 4 surah as-Saff iaitu berperang dalam saf teratur rapi seolah-olah bangunan tersusun.

Menerangkan maksud itu jelasnya, iaitu antara satu sama lain saling lengkap melengkapi tanpa membanding-bandingkan tugasan diberikan kerana setiap posisi mempunyai kekuatan dan kepentingan sendiri.

Beliau juga menasihati setiap anggota jentera agar seimbangkan kerja-kerja rumah, kerjaya dan perjuangan dalam mencari redha Allah serta dipermudahkan segala urusan dilakukan.

Turut serta adalah Ketua Muslimat PAS Kawasan Paya Besar, Ustazah Norzilah Hussain dan Pengarah JPrM Paya Besar, Aminah Othman dan Ketua-Ketua Muslimat DUN. – HARAKAHDAILY 1/11/2020

- Advertisement -