Tuan Guru Jaliluddin Abdul Wahid terima anugerah

AYER KEROH : Tokoh ulama PAS Melaka, Tuan Guru Jaliluddin Abdul Wahid, 83, hari ini menerima anugerah pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM), sempena sambutan Hari Jadi yang ke 71, Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Negeri di sini pagi tadi.

Advertisement

Tuan Guru Jaliluddin yang dilahirkan di Kampung Paya Rumput, Sungai Udang, Melaka pada tahun 1937 ini adalah merupakan seorang tokoh ulama yang tidak asing lagi di negeri Melaka ini.

Beliau juga adalah merupakan penerus kepada legasi ayahanda beliau Almarhum Mu’alim Tuan Guru Abdul Wahid yang merupakan tokoh ulama tersohor di negeri Melaka yang telah mengasaskan sekolah agama rakyat, Sekolah Rendah dan Menengah Agama An-Nuriah di Sungai Udang Melaka pada tahun 1940-an.

Ayahnya yang terkenal dengan panggilan Mu’alim Tuan Guru Haji Abdul Wahid Sungai Udang adalah merupakan salah seorang anak Melaka yang menjadi murid Tok Kenali, tokoh ulama tersohor dari Kelantan.

Tuan Guru Haji Jaliluddin mendapat pendidikan awal daripada ayahnya selama beberapa tahun dan kemudian menyambung pengajiannya di Universiti Baghdad, Iraq sekitar tahun 1960an.

Selain berguru dengan almarhum bapanya sendiri, beliau juga pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Mahmud Assawaf, pengasas Ikhwan di Iraq dan juga Syeikh Amjad al-Zahawi.

Antara rakan-rakan beliau yang sama-sama menuntut ilmu bersama beliau ialah mantan Pengerusi ABIM Perlis, Ustaz Dahlan Muhammad Zain; mantan Pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, Ustaz Abdul Rahim Muhammad Zain; mantan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Almarhum Tuan Guru Muhammad Daud Iraqi; mantan Naib Presiden PAS, Almarhum Tuan Guru Haji Hassan Shukri; Mursyidul Am PAS (sehingga kini) Tuan Guru Hashim Jasin; Tuan Guru Haji Abdul Ghani Kasa dan ramai lagi tokoh-tokoh terkenal.

Selesai menuntut ilmu di Iraq, Tuan Guru Haji Jaliluddin pulang ke tanah air pada tahun 1970-an dan berkhidmat sebagai penterjemah di bahagian penyiaran dan penterjemahan radio luar negeri di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Selepas itu, Almarhum ayahnya memanggil beliau pulang ke kampung halaman agar dapat membantunya menguruskan pondok Madrasah an-Nuriah yang diasaskan Almarhum.

Atas sifat taatnya beliau pada ayahnya, Tuan Guru Haji Jaliluddin terus membakar sijil-sijil pengajian beliau kerana ingin menumpukan terus pada pengajaran di pondok, begitulah kuatnya pergantungan Tuan Guru Haji Jaliluddin kepada Allah Taala.

Selepas ayahnya, Tuan Guru Haji Abdul Wahid, kembali ke rahmatullah pada tahun 1990, beliau seterusnya menjadi mudir Madrasah An-Nuriah pada tahun 1992 dan menetap di sebuah rumah di hadapan madrasahnya itu sehingga ke hari ini.

Beliau pernah diamanahkan sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Melaka dan juga sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, malah merupakan pesuruhjaya paling lama memegang jawatan itu di Melaka setakat ini.

Kini sosok yang pernah menerima anugerah Tokoh Ulama Mithali 2017 ini tidak begitu aktif lagi menyampaikan kuliah atas faktor keuzuran beliau.

Pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM) yang diterima Tuan Guru Jaliluddin ini mula dikurniakan pada tahun 1988 kepada orang perseorangan yang telah berbakti dan memberi perkhidmatan yang baik kepada Negeri Melaka.

Selain beliau, dua orang lagi aktivis PAS turut menerima pingat BCM ini iaitu Mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Halim Maidin, 61 dan Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, 54.

Sementara itu, Penasihat Sekolah Rendah Ar-Rahmah Solok Gaung yang juga merupakan mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Mohd Diah Abdul, 82 pula menerima anugerah Darjah Seri Melaka (DSM) manakala Pengerusi Assabiqun Melaka, Hassan Md Dahan, 67, menerima pingat Bintang Khidmat Terpuji (BKT).

Kesemua pingat yang diterima oleh tokoh-tokoh PAS pada pagi ini tidak membawa sebarang gelaran. – HARAKAHDAILY 31/10/2020