Mengapa Perancis lancang terhadap Islam?

- Advertisement -

PERANCIS tidak sunyi dari siri-siri provokasi terhadap agama Islam. Terkini, seorang guru bernama Samuel Paty telah memaparkan kartun yang menghina Nabi, dalam sesi pembelajarannya berkenaan nilai kebebasan mengekspresi sikap terhadap agama.

Lantas Anzorov, seorang pemuda Muslim berbangsa Chechnya bertindak membunuh guru tersebut. Sebagai bayaran membela maruah Nabi, pemuda itu maut ditembak oleh pihak polis Perancis sebanyak 9 das tembakan.

Peristiwa pembunuhan tersebut menambah ketegangan beragama di Perancis, yang telah sedia mendukung propaganda Islamofobia. Persoalannya, mengapa siri-siri provokasi seumpama ini berlaku di Perancis?

- Advertisement -

Asas Negara Perancis

Revolusi Perancis 1799 adalah peristiwa penting dalam abad pencerahan Eropah. Ia membentuk identiti negara Sekular era moden yang mendukung lunas-lunas Liberal. Bahkan tidak keterlaluan, jika dikatakan Perancis sebagai kiblat bagi konsep negara Sekular yang pekat.

Konsep tersebut bukan sekadar menginspirasikan negara-negara Barat. Bahkan Uthmaniyyah turut menjadikan Perancis sebagai ikutan melalui projek Tanzimat 1839 mereka. Langkah tersebut jugalah yang menjadi faktor jahanamnya Uthmaniyyah dari dalam.

Melalui proklamasi negara Perancis selepas berhasil meledakkan Revolusi 1799, maka muncullah cogan kata yang menjadi dasar sebuah negara Liberal-Sekular:

(1) Liberte: Kebebasan.

(2) Egalite: Kesamarataan.

(3) Fraternite: Persaudaraan.

Syeikh Abdul Rahman Hasan Habannakah di dalam kitabnya yang berjudul Kawasyif Zuyuf telah mendedahkan secara agak panjang, bagaimana revolusi tersebut didalangi oleh kelompok-kelompok elit Yahudi. Kesempatan tersebut turut digunakan untuk menghapuskan nilai-nilai dan eksistensi agama dalam negara.

Imej agama Kristian yang buruk kerana banyak terkait dengan skandal kezaliman-kezaliman politik, membentuk negara Perancis baharu yang prejudis terhadap agama. Mereka melihat agama sebagai anasir yang selama ini telah memangsakan kehidupan mereka.

Dari pengalaman politik itu, melahirkan kecenderungan-kecenderungan Atheis. Protes terhadap aturan-aturan dan simbol agama yang dianggap penuh kepalsuan, menjadi sebahagian dari corak kehidupan di Perancis.

Sekular garis keras

Ahmet T. Kuru dalam kajiannya berkenaan ideologi-ideologi negara yang bertajuk Secularism & State Policies Toward Religion, telah mengklasifikasikan bahawa Perancis sebagai negara Sekular bergaris keras (assertive secularism). Ia adalah tahap Sekular yang tersangat pekat, berbanding negara-negara Barat lain termasuk Amerika.

Ciri Sekular garis keras yang turut disebut sebagai Laicite, antaranya adalah:

(1) Melarang simbol-simbol agama dibawa masuk ke dalam masyarakat awam. Perancis cukup terkenal dengan diskriminasi ke atas praktis Islam seumpama larangan memakai hijab.

(2) Berpegang dengan lojik bahawa menunjukkan imej agama di ruang publik, adalah bermaksud ancaman terhadap penganut agama-agama lain.

(3) Negara wajar bersikap agresif melarang simbol-simbol agama, sebagai pencegahan dari ianya tersebar.

(4) Warga negaranya diberi ruang untuk mengkritik, malah menghina agama atas nama kebebasan.

Maka dengan ideologi negara seumpama ini, tidak hairanlah provokasi-provokasi terhadap agama diberi ruang yang cukup bebas. Komik satira Charlie Hebdo bukan semata-mata gemar menghina agama Islam, bahkan agama-agama lain turut menjadi mangsa mereka.

Kesan Kolonialisme

Perancis terlibat dengan penjajahan dalam tempoh masa yang panjang membabitkan banyak negara-negara umat Islam Afrika Utara seperti Algeria, Tunisia dan Morocco. Setelah berakhirnya Perang Dunia Pertama, ramai orang-orang Islam dari negara jajahan Perancis berpindah ke Perancis untuk memenuhi keperluan tenaga buruh di negara penjajah tersebut.

Selepas Perang Dunia Kedua pula, perpindahan orang-orang Islam dari Afrika Utara berlaku lagi secara besaran-besaran atas tujuan yang sama. Iaitu sebagai tenaga buruh bagi menampung keperluan industri Perancis. Jika diamati, asalnya ia adalah bentuk ‘perhambaan’ baharu tetapi akhirnya akan memakan diri Perancis sendiri.

Pada pertimbangan awal pembuat dasar Perancis, perkembangan tersebut boleh dikawal dengan undang-undang. Seawal 1905 telah digazetkan undang-undang bahawa negara menjamin kebebasan beragama, asalkan ia tidak dibawa ke ruang publik.

Perkembangan Islam di Perancis

Namun jangkaan mereka meleset, kerana umat Islam telah diajar supaya menampilkan imej Islam dan bergaul dengan masyarakat. Pada 1985 tertubuhlah Federasi Muslim Perancis. 

Maka organisasi Muslim muncul bagaikan cendawan di Perancis. Peningkatan angka organisasi Islam mencecah lebih dari 1,500 dan masing-masing pula memiliki masjid mereka tersendiri untuk melunasi keperluan beraktiviti. 

Sekalipun perkembangan ini jika di atas kertas hanya berlaku secara tertutup, tetapi hakikatnya kesan dakwah itu tetap berlaku. Kini populasi Muslim mencecah 10 peratus dari keseluruhan rakyat Perancis.

5 tahun dahulu hanya 7.5 peratus. Bayangkan dalam tempoh 5 tahun sahaja, populasi masyarakat Muslim di Perancis berkembang sebanyak 2.5 peratus. Ia amat pesat.

Lantas menempatkan Perancis sebagai negara Eropah yang paling ramai memiliki rakyat dalam kalangan orang Islam. Penambahan angka populasi umat Islam di Perancis dijangka akan terus meningkat.

Apatah lagi dengan krisis perang saudara di Asia Barat, menambahkan lagi migrasi orang-orang Islam ke Perancis. Maka perkembangan ini dianggap sangat mencabar ideologi negara yang sangat menghalang agama dibawa ke ruang publik.

Islamofobia Perancis

Kempen Islamofobia di Perancis agak signifikan untuk diamati kerana ia disebarkan secara agresif. Propaganda-propaganda yang amat provokatif subur dan seakan mendapat perlindungan negara.

Sebelum peristiwa pembunuhan Samuel Paty – Anzorov pun, Presiden Perancis, Emmanuel Macron terlebih dahulu telah mengeluarkan kenyataan bahawa Islam sebagai agama pengganas yang mengancam keselamatan global. Ada juga yang berpandangan, itu merupakan kempen politiknya untuk mendapatkan keyakinan rakyat menjelang pemilihan akan datang.

Para pengkaji dan jurnalis di negara-negara Barat yang lain, telah mula giat mewacanakan dan menimbulkan keraguan terhadap Islamofobia yang disedari sebagai agenda diskriminasi ke atas Islam. Sebaliknya selaras dengan ideologi Perancis, Islamofobia masih dianggap sebagai kempen yang wajar bagi menangani perkembangan Islam di sana.

Fobia terhadap kehadiran orang luar atau xenofobia sangat tepat untuk menjelaskan situasi Perancis. Dengan penambahan angka umat Islam yang terus meningkat, ia semakin merangsang kempen Islamofobia agar dijalankan dengan lebih giat dan agresif.

Promosi

Kita mengambil pengajaran selepas dari peristiwa 9/11, menyaksikan semakin ramai rakyat Amerika memeluk Islam. Mengapa semakin Islam diburukkan, semakin ramai masyarakat Barat memeluk Islam?

Masyarakat Barat yang berfahaman Liberal sangat menjunjung nilai rasional dan berfikir secara kritis. Tabiat tersebut akan mendorong mereka mengkaji sesuatu perkara, jika perkara tersebut digambarkan dengan gambaran-gambaran yang melampau.

Lantas agenda memburuk-burukkan Islam secara dangkal, membuatkan masyarakat Barat berfikir dan mengkaji. Ia bermula dengan simpati. Akhirnya propaganda Islamofobia berubah menjadi promosi ke atas Islam. Maka tidak peliklah populasi umat Islam di Perancis semakin bertambah hingga ke hari ini.

Pedoman politik bernegara menurut al-Quran

Ideologi Negara Perancis yang memberikan kebebasan ekstrem hingga ke tahap boleh menista agama, pasti akan memakan diri mereka sendiri. Implikasinya akan berlaku konflik yang menggugat kestabilan Perancis sendiri. Jika mereka katakan sanggup berhadapan dengan risiko itu, persoalannya sampai bila? Allah berfirman:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ 

“Dan janganlah kamu memaki sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan memaki Allah dengan melampaui batasan secara tanpa ilmu.”

(al-An’am: 108)

Jika kita melihat dari perspektif ini, fahamlah kita mengapa al-Quran melarang umat Islam agar jangan memaki agama lain secara dangkal, kerana ia tidak akan melahirkan suasana negara yang harmoni. Malangnya golongan Liberalis ekstrem seumpama yang ada di Perancis, tidak memahami lojik tersebut. 

Sudah pastilah tindakan-tindakan provokasi yang mereka lancarkan akan mengundang tindak balas di luar kawal. Akhirnya menimbulkan kekacauan yang tidak menguntungkan kestabilan sosial, politik dan ekonomi mereka sendiri.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD – HARAKAHDAILY 30/10/2020

- Advertisement -