Kapal tanpa sauh menanti dilambung ombak

- Advertisement -

BERPOLITIK tanpa bertunjangkan agama samalah macam kapal tidak ada sauh. Dilambung ombak sampai mabuk laut awak-awak kapal. Jawabnya berguling bergoleklah semua. Islam itu menenangkan. Bila berjanji kita teguh dengan janji. Kita tidak akan khianat sama sekali. Jika dikhianati kita sabar dan bertawakal kepada Allah.

Hati yakin bahawa Allah tidak akan sia-siakan orang yang bertawakal kepadaNya. Jika memperolehi apa yang kita hajat maka kita bersyukur. Jika tidak dapat kita sabar, kerana di penghujung lorong kesabaran itu ialah kejayaan.

- Advertisement -

Dengan Islam, politik akan jadi tenang dan aman. Jika diberi jawatan kita cuba tunaikan sebaik mungkin. Jika tidak, kita tidak akan tendang orang lain. Bahkan kita akan bantu dia hingga kepentingan agama dan negara dapat dicapai bersama. Tanpa Islam politik akan terumbang-ambing. Segala jenis mabuk akan berlaku. Mabuk kuasa, mabuk jawatan, mabuk projek, mabuk pangkat dan gelaran, mabuk kerusi dan macam-macam mabuk. Di penghujung mabuk itu ialah gila.

Cuba duduk tenang-tenang, banyak ingat Allah. Jangan tamak apa milik orang. Berkongsi jika belum milik sesiapa dan memberi sebahagian milik kita. Hidup ini bukan lama pun. Allah tak tanya kita sempat jadi PM ke tidak. Yang Allah tanya nanti apa sumbangan kita untuk agama dan dunia ini. Berapa ramai Nabi-nabi wafat sebelum sempat jadi PM. Berapa ramai ahli-ahli politik sampai tua tak dapat jadi PM dan berapa ramai ulamak berjuang tak berpeluang jadi PM. Tapi mereka okey saja. Kalau berasa mabuk berhenti dulu, hilang-hilangkan pening. Nanti tak pasal-pasal langgar anak buah sendiri dan rakyat.

Salam Maulidur Rasul.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 30/10/2020 

- Advertisement -