Praktik ajaran Nabi dalam pentadbiran kerajaan

- Advertisement -

IPOH: Umat Islam termasuk para pemimpin Kerajaan dan Ketua-ketua Jabatan perlu mencontohi Nabi Muhammad S.A.W untuk dipraktikkan dalam pentadbiran, seru Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

- Advertisement -

Beliau memetik tazkirah khas Timbalan Mufti Negeri, Dato’ Zamri Hashim yang mengingatkan betapa persengketaan dalam pentadbiran perlu dielakkan bagi menjamin keharmonian negara.

“Apa yang disampaikan oleh Timbalan Mufti, sebelum kita membuat keputusan, fikir dan zikir dahulu untuk kita elakkan diri daripada melakukan kemungkaran.

“Dengan bertindak demikian, kita dapat menahan diri daripada melakukan kemungkaran, in sya Allah kita praktikkan bersama,” ujarnya selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, umat Islam bertuah kerana dapat menyambut Maulidur Rasul dalam persekitaran norma baharu.

“Walaupun suasana begini, sambutan Maulidur Rasul tidak kurang meriahnya, kita harap umat Islam bersama-sama mengingati Rasulullah dan praktikkan segala sunnah baginda supaya kita sentiasa dalam rahmat Allah.

“Pastikan mulut kita sentiasa basah dengan selawat ke atas Nabi agar baginda tidak melupakan kita di Mahsyar kelak dan membantu kita menghadapinya,” ujarnya lagi.

Bertemakan ‘Ummah Rabbani, Negara Harmoni” sambutan Maulidur Rasul tahun ini disambut secara bersederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) berikutan penularan wabak COVID-19.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pegawai Kewangan Negeri Perak, Dato’ Zulazlan Abu Hassan, serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin dan ADUN-ADUN.

Majlis diakhiri dengan solat Isyak beserta doa Qunut Nazilah di rakaat akhir dan solat sunat memohon bencana wabak COVID-19 dapat dihindari segera. – HARAKAHDAILY 29/10/2020

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!