PN Perak stabil di bawah pimpinan MB Faizal

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria menafikan bahawa terdapat ADUN di bawah Kerajaan Perikatan Nasional Negeri Perak yang menjalinkan kerjasama dengan parti DAP.

- Advertisement -

Jelasnya, beliau menasihatkan agar mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi tanpa bukti kukuh dan kenyataan rasmi melalui ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti PAS, Umno dan BERSATU Perak.

“Hentikan spekulasi. Mustahil (ada) ADUN Kerajaan Perak di dalam gabungan Kerajaan PN sekarang sanggup bekerjasama dengan DAP dan sekutunya. Kerajaan (sekarang) sudah cukup stabil dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dan meningkatkan ekonomi negeri.

“Pimpinan YAB MB Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu juga amat selesa dan disenangi oleh semua pihak,” tegas beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri berhubung desas-desus pertukaran Menteri Besar yang disiarkan sebuah portal tempatan semalam.

Berdasarkan laporan yang disiarkan itu, terdapat kenyataan yang mendakwa Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad telah mempunyai cukup sokongan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal menerusi ADUN PAS yang mempunyai tiga kerusi selain empat wakil rakyat PKR dan DAP.

Razman yang juga ADUN Gunung Semanggol turut berkata, Kerajaan Negeri Perak dipimpin Ahmad Faizal kini sedang fokus menggiatkan usaha membangunkan negeri khususnya menangani kekangan yang dihadapi rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19.

“Sekarang bukan masa mencari tempat untuk diri (jawatan). In sya Allah Kerajaan PN Perak akan terus komited menjalankan tanggungjawab. (Ini kerana) kita dilantik untuk berkhidmat pada negara. Bukan berebut jawatan, jangan sampai rakyat muak dengan orang politik,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 29/10/2020

- Advertisement -