Penduduk bimbang hakisan tebing sungai

Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Hajjah Norin yang diwakili Muhammad Hakim.
- Advertisement -

WANGSA MAJU: Penduduk Kampung Puah, dekat sini, resah dengan hakisan di tebing Sungai Gombak yang berisiko mengancam keselamatan terutama ketika hujan lebat.

Timbalan Pengerusi Majlis Persatuan Penduduk Zon Wangsa Maju (MPPWM), Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud turun meninjau kawasan terlibat pada 26 Oktober lepas.

- Advertisement -

Hasil tinjauan itu, Ustaz Abdul Rani juga merangkap Yang Dipertua PAS Wangsa Maju mendapati tebing sungai berkenaan runtuh.

Runtuhan itu berisiko menyebabkan laluan pejalan kaki di beberapa buah rumah boleh terputus pada bila-bila masa jika berlaku hujan lebat.

Hajjah Norin, 55, yang rumahnya paling terjejas kerana terletak paling hampir dengan tebing berkenaan berkata jarak antara tebing sungai ke laluan utama dahulu lebih 10 meter tetapi kini hanya tinggal kira-kira satu meter sahaja.

Keadaan sangkar tebing sungai yang dibina telah runtuh.

“Lebih membimbangkan, hakisan tebing sungai berkenaan semakin menghampiri rumah sejak beberapa bulan lalu akibat dinding batu sangkar yang ada telah runtuh akibat limpahan air sungai ketika hujan lebat,” ujar Hajjah Norin.

Tambahnya lagi, isu ini berlaku sejak Oktober tahun lalu dan dinding batu sangkar telah diletakkan untuk mengatasi masalah berkenaan, namun dengan runtuhnya batu sangkar berkenaan, masalah ini menjadi berlarutan.

Wakil Majlis Persatuan Penduduk Sub Zon 4 Wilayah Persekutuan, Sulaiman Ismail berkata perkara itu sudah diajukan kepada Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Wangsa Maju dan Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan (JPS WP).

Beliau memaklumkan bahawa JPS WP akan bekerjasama dengan DBKL untuk melaksanakan projek membaik pulih di kawasan berkenaan secepat yang mungkin.

Turut hadir dalam lawatan tapak tersebut ialah Pengurus Pejabat DBKL Cawangan Wangsa Maju, Ibnu Sina, Pengerusi MPPWP Sub Zon 4, Dato’ Razak, AJK MPPWP Sub Zon 4, Sulaiman Ismail dan Pegawai JPS, Alizul.

MPPWM turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada Hajjah Norin yang diterima oleh wakilnya, Muhammad Hakim untuk menampung kos kerugian akibat rumahnya yang terjejas teruk akibat hakisan. – HARAKAHDAILY 29/10/2020

- Advertisement -