Yayasan Amal sumbang motosikal kepada OKU

SIMPANG RENGGAM: Yayasan Amal Malaysia Cawangan Johor telah menyumbang motosikal roda tiga kepada usahawan Orang Kelainan Upaya (OKU) di pekarangan pejabat Yayasan Amal Malaysia Johor

Advertisement

Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Presiden Yayasan Amal Malaysia, Husin Ismail kepada pasangan suami isteri OKU, Yuslizan Aman dan Norizan Ahmad, di sini semalam.

“Saya amat berterima kasih kepada Yayasan Amal di atas keprihatinan dalam membantu saya menjalankan perniagaan dan urusan harian,” ujar Yuslizan dengan penuh terharu.

Yuslizan merupakan OKU cacat tangan dan kaki kiri, manakala isterinya Norizan OKU cacat tangan dan kaki kanan di mana sebelum ini mereka menjaja sarapan pagi serta kuih-muih di sekitar taman dan kampung dengan basikal.

Menurut Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Johor, Mohd Jubri Selamat, kesungguhan Yuslizan yang berniaga dengan dua bakul di belakang amat tidak stabil dan terdedah kepada bahaya, selain basikalnya yang sudah agak uzur.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita Yayasan Amal untuk membantu Yuslizan. Diharap juga sumbangan ini dapat meningkatkan produktiviti beliau,” tambah Mohd Jubri.

Hadir sama Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Jamaludin Elias dan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Johor, Saleh Farmin serta barisan jawatankuasanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2020