Serah MDEP bukti PN pentingkan rakyat

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Penyerahan rasmi Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) Fasa 1 dan Fasa 2A kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan diketuai Perikatan Nasional (PN) kepada rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaie Dato’ Ir A Rashid berkata, meskipun Pulau Pinang ditadbir oleh pihak pembangkang kepada PN, tetapi ternyata kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan PN.

“Kita lihat bahawa projek tersebut telah siap pada tahun 2017 lagi, namun atas kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diberi peluang memerintah selama 22 bulan, projek tersebut masih belum diserahkan oleh Kerajaan Pusat PH kepada Kerajaan Negeri PH.

- Advertisement -

“Tetapi, Kerajaan Pusat PN yang serahkan projek siap tersebut kepada Kerajaan Negeri PH. Dicadangkan juga kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar menyeimbangkan di antara pembangunan perumahan dan fasiliti sumber air.

“Kita lihat pembangunan yang terlalu pesat di Pulau Pinang, tetapi dalam masa yang sama kita masih lagi bergantung kepada sumber air dari Kedah. Sepatutnya penyediaan sumber air juga perlu diuruskan dengan baik untuk bekalan kepada pelan pembangunan akan datang,” tegasnya.

Menurut beliau, projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) yang dikatakan bakal menempatkan sekitar 400,000 penduduk amat membimbangkan sekiranya tidak mengambil kira dari sumber air terawat akan diperolehi.

Kerajaan Pulau Pinang sarannya mesti mengambil berat terhadap situasi kritikal yang melanda Empangan Air Hitam dan Empangan Teluk Bahang di mana mengalami kapasiti efektif yang sangat membimbangkan akhir-akhir ini.

“Hari ini sahaja (28 Oktober), Empangan Air Hitam mencatatkan kapasiti efektif yang kritikal iaitu 59.9 peratus, manakala Empangan Teluk Bahang, 32.70 peratus. Empangan Teluk Bahang membekalkan air kepada pengguna di Tanjung Bungah, Batu Ferringhi, Teluk Bahang dan Balik Pulau.

“Kadar pembangunan yang terlalu tinggi juga menjadi faktor kepada kurangnya kawasan tadahan air di sekitar empangan tersebut,” perjelas beliau.

Ir Rafaie merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang diterajui Menterinya, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man di atas keprihatinan terhadap isu bekalan air ini.

Kelmarin, KASA secara rasmi menyerahkan projek siap itu di mana menurut Dato’ Sri Tuan Ibrahim dua fasa tersebut melibatkan pembesaran empangan dan menaik taraf Rumah Pam Mak Sulong.

“Projek yang dilaksanakan ini akan menyediakan sumber air tambahan dalam memastikan jaminan bekalan air secara berterusan kepada penduduk negeri Pulau Pinang yang kini mencapai kadar liputan 100 peratus.

“Ia juga dapat meningkatkan kadar rizab margin air terawat Pulau Pinang ke satu paras yang selesa sekiranya operasi loji rawatan air dihenti tugas atas faktor-faktor seperti pencemaran sumber air, peningkatan permintaan secara mendadak, gangguan tidak berjadual dan sebagainya,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 6.9 juta meter padu air mentah telah dilepaskan dari Empangan Mengkuang bagi menampung keperluan air kepada penduduk Pulau Pinang akibat cuaca kering yang melanda Utara Semenanjung.

“Pada tahun 2019, Pulau Pinang merekodkan kadar rizab margin air terawat sebanyak 32 peratus. Kerajaan Persekutuan juga telah melaburkan hampir RM3 bilion di bawah RMK11 (2016-2020) bagi pelaksanaan pelbagai projek bekalan air, sumber air dan tebatan banjir serta perkhidmatan pembetungan di negeri Pulau Pinang.

“Di bawah Rolling Plan yang keempat (bagi tahun 2020), peruntukan berjumlah RM45.9 juta diluluskan untuk melaksanakan 17 projek sumber air, bekalan air dan perkhidmatan pembetungan,” katanya.

Projek Pembesaran Empangan Mengkuang telah bermula pada tahun 2011 melalui peruntukan secara langsung Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.2 bilion dengan melibatkan empat fasa iaitu Fasa 1, Fasa 2A, Fasa 2B dan Fasa 2C.

Fasa 2B melibatkan penyaluran air mentah dari Stesen Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua yang kini dalam peringkat akhir pengambilalihan tanah manakala Fasa 2C melibatkan pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi yang sedang dalam peringkat kajian semula oleh perunding. – HARAKAHDAILY 28/10/2020

- Advertisement -