Sayangi anak yatim, moga dekat dengan Rasulullah

MUHAMMAD S.A.W dilahirkan dengan keadaan yatim piatu. Baginda dilahirkan pada Tahun Gajah, iaitu tahun di mana Abrahah Al Syram telah melanggar masuk ke Kota Makkah dalam rangka percubaannya hendak menawan dan memusnahkan Al Ka’bah. Namun demikian percubaannya telah menemui kegagalan yang amat pahit di mana Allah S.W.T telah mengutuskan sekumpulan Burung-burung Ababil mencedera dan memusnahkan angkatannya itu.

Baginda telah dilahirkan pada hari Isnin tanggal 12 Rabi’ul Awal. Baginda telah yatim ketika dilahirkan. Ayahandanya wafat ketika Baginda baru 2 bulan dalam kandungan ibunya. Sesudah itu datuk pula meninggal. 

Peristiwa ini menyebabkan Rasulullah S.A.W hidup semasa kecilnya tanpa mendapat kasih sayang dari ibu dan jagaan serta perhatian yang sewajarnya dari bapa. Beginilah arus hikmah Ilahi yang mahukan Rasulullah S.A.W hidup dalam keadaan yatim piatu. Hanya arahan dan jagaan Illahi sahaja dapat menjauhkan tangan-tangan yang suka memanjanya, menjauh wang, harta kekayaan dan yang cuba memewahkan kehidupannya. Ini berlaku supaya jangan timbul di jiwanya semangat kebendaan atau gilakan pangkat. 

Advertisement

Lebih jelas lagi Rasulullah ini adalah rahmat Allah untuk manusia sejagat. Allah sendiri telah menyebut di dalam al-Quran:

“Dan tidak kami utuskan Engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk alam sejagat.”

 (al-Anbiya’: 107)

Peristiwa pembedahan perut Rasulullah S.A.W semasa Baginda tinggal bersama Halimah Al Sa’diyyah merupakan salah satu tanda kenabian dan tanda pemilihan Tuhan terhadapnya untuk sesuatu yang mulia. Hikmah Ilahi yang jelas di sini ialah mengiklankan dan mengisytiharkan kerasulan Baginda dan menjadikan maksum dan mempersiapkan Baginda untuk menerima wahyu dari kecil lagi dengan cara yang boleh dilihat dengan mata kasar (Rasulullah didatangi Jibril ketika Baginda sedang bermain-main dengan sekumpulan kanak-kanak, Jibril merebahkan dan membelah betul-betul pada hati dan mengeluarkannya, dibasuh di dalam bekas dari emas dengan air zam-zam dan dimasukkan semula dan kanak-kanak yang lain berlari mendapatkan ibu susuannya dengan melaung-laung, Muhammad telah dibunuh dan mereka semua meluru ke arah Nabi Muhammad, didapati mukanya pucat) kerana dengan jalan ini membawa orang percaya dan beriman dengan risalah pengutusannya dengan mudah.

Sebelum itu mengenai nasab keturunan Baginda, kedapatan dalil yang jelas dalam Hadis Riwayat Muslim: 

“Bahawa Baginda S.A.W berdiri di atas minbar lantas berkata: “Siapakah saya ini?, Para Sahabat menjawab: “Engkau utusan Allah, selamat atas Engkau”. Ujar Baginda lagi: “Saya Muhammad anak Abdullah anak Abdul Muttalib, sesungguhnya Allah telah jadikan makhluk (manusia), kemudian Ia jadikan mereka dua golongan, maka Ia jadikan saya dalam golongan mereka yang paling baik, kemudian Ia jadikan mereka beberapa qabilah, maka Ia jadikan saya dalam qabilah mereka yang paling baik, kemudian Ia jadikan beberapa rumah (rumah tangga) maka Ia jadikan saya dalam rumah yang paling baik, dan saya adalah orang yang paling baik di antara mereka.””

(Tirmizi: J.9.H.236. Kitabul-Munaqib)

Tubuh yang masih kecil itu kini dibiarkan memikul beban hidup yang berat, sebagai anak yatim piatu. Kenangan sedih sebagai anak yatim piatu itu bekasnya masih mendalam sekali dalam jiwa Baginda sehingga di dalam al -Quran pun disebutkan, ketika Allah mengingatkan Nabi akan nikmat yang dianugerahkan kepadanya itu:

“Bukan kah Engkau dalam keadaan yatim piatu? Lalu Diadakan-Nya oarang yang akan melindungimu? Dan menemukan Kau kehilangan pedoman, lalu di tunjukkan-Nya jalan itu?”

(ad-Dhuha: 6-7)

Rasulullah S.A.W adalah teladan umat manusia. Beliau sangat mengasihi dan menyayangi anak-anak yatim. Dalam salah satu sabdanya, Baginda menjelaskan bahawa kedudukan orang yang memuliakan, menyantuni dan mengasihi anak yatim akan mendapat syurga yang jaraknya bagaikan jari telunjuk dan jari tengah.

Selain itu, banyak kemuliaannya menjaga anak yatim:

(1) Mempertebalkan iman dan taqwa.

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”

(ali-Imran: 133 – 134)

Sedekahkan harta di jalan Allah, akan menambah iman dan takwa kita kepada Allah.

(2) Hati jadi lunak dan keperluan kita dipenuhi atau mencukupi. 

Maksudnya adalah bila kita menanggung hidup seorang anak yatim sama halnya berinfak di jalan Allah dan Allah akan memberikan kita kelapangan dalam rezeki.

(3) Memperolehi perlindungan di akhirat kelak.

Menyayangi dan menyantuni anak yatim juga dapat membuat kita mendapatkan perlindungan di hari kiamat kelak, seperti sabda Rasulullah S.A.W:

“Demi Allah yang mengutus aku dengan kebenaran di hari kiamat Allah S.W.T tidak akan mengazab orang yang mengasihi anak yatim dan berlaku ramah padanya serta manis tutur katanya. Dia benar-benar menyayangi anak yatim dan mengerti kekurangannya, dan tidak menyombongkan diri pada tetangganya atas kekayaan yang di peroleh Allah kepadanya.” 

(Hadis Riwayat Thabrani)

Demikian pula, Baginda sangat melarang membiarkan anak yatim. Dalam al-Quran, Allah S.W.T mengecam orang-orang yang suka mengherdik anak yatim dan enggan memberi makan fakir miskin. Allah menyebut mereka itu sebagai pendusta agama:

“Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.”

 (al-Maun: 1-3)

Dan firman Allah lagi:

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).”

(Nisa’: 10)

Sekiranya hidup mereka terbiar, ramai di antara mereka yang putus asa, seolah-olah hidup ini adalah ‘neraka’, mereka harus harungi kehidupan ini sendirian, mereka dihina, menjadi korban seksual, mereka sangat kesepian dan menangis di hati kecil mereka. Akhirnya mereka tidak mengenal Islam dengan baik apalagi beribadah, cenderung bersama-sama teman di jalanan dan lebih parahnya kalau mereka tidak dibela, mereka akan terlibat dengan perbuatan keji, mungkar dan dosa besar. Na’udzu billahi min dzalid.

Kesimpulan

Ingatlah, umat Islam wajib memperbaiki keadaan anak yatim, bukan terbatas memberi makan minum atau pakaian sahaja, tetapi dengan menunjukkan rasa cinta dan kasih sayang kepada mereka, tetapi pelbagai kebaikan yang boleh membantu mereka iaitu memberi kasih sayang dengan iklas serta perlindungan kita untuk mereka, berikan mereka pendidikan agama, bimbingan moral dan menguruskan harta kekayaan mereka. Memberikan mereka ilmu yang bermanfaat di dunia dan janganlah pernah merendahkan atau membandingkan status mereka.

 Jangan dipersia-siakan nasib mereka sehingga moral mereka menjadi rosak dan hak mereka terbengkalai. Buatlah mereka tersenyum bahagia dan hilangkanlah rasa sedih, resah, kesepian dan membuat mereka merasa istimewa, inilah yang mereka perlukan. Kebaikan kita untuk mereka adalah ladang pahala dan keberkatan kehidupan di dunia dan akhirat kita.

Di dalam ajaran Islam, Islam memerintahkan kaum Muslimin untuk sentiasa memperhatikan nasib mereka, mengurus dan mengasuh mereka hingga dewasa sebab mereka sudah kehilangan seseorang yang sangat dekat dalam hidup mereka, yang sepatutnya menyayangi, memperhatikan, menghiburkan dan menasihati mereka.

Akhirnya, ikut Nabi dalam apa sahaja yang kita buat di dalam kehidupan ini. Seperti firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 31:

“Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.”

FARIDAH KAMARUDDIN
Kuantan
28 Oktober 2020 – HARAKAHDAILY 28/10/2020