Penghinaan kepada Rasulullah S.A.W bukan percuma!

- Advertisement -

PERISTIWA berdarah pada 16 Oktober 2020 di Perancis telah mengejutkan seluruh dunia. Seorang guru bernama Samuel Paty, telah dibunuh oleh seorang pelajarnya yang beragama Islam. Ia merupakan tindak balas selepas gurunya telah menghina Nabi Muhammad S.A.W dengan menayangkan beberapa lukisan penghinaan semasa sesi pembelajaran. Pelajar tersebut telah ditembak mati oleh polis selepas kejadian tersebut.

Apa yang menyedihkan apabila Presiden Perancis, Emmanuel Macron menjulang tindakan guru tersebut bahkan memberi anugerah penghormatan tertinggi Perancis Légion d’honneur. Beliau juga telah meletakkan kesalahan kepada komuniti Muslim dengan mengatakan ia berpunca daripada pemikiran radikal dalam kalangan umat Islam. Pelbagai tohmahan yang dibuat telah meningkatkan lagi Islamofobia dalam kalangan rakyat Perancis sendiri.

Saya melihat tindakan Presiden Perancis sebagai berat sebelah, tidak melihat dengan neraca keadilan yang sebenar dan sangat prejudis pada umat Islam. Sepatutnya, persoalan yang lebih besar ialah punca peristiwa yang mengejutkan ini berlaku. Adakah adil diletakkan kesalahan kepada pemuda itu semata-mata dan dijulang guru yang dibunuh itu? Adakah menghina agama itu perkara yang mulia? 

- Advertisement -

Seluruh dunia dapat memahami bahawa punca tragedi ini ialah penghinaan terhadap agama. Ia adalah tindakan yang terkutuk dan perlu dikekang bagi mengelakkan ketegasan agama. Tindakan pihak yang menghina Nabi Muhammad S.A.W seperti Majalah Charlie Hebdo adalah satu provokasi terang-terangan dan menjemput musibah kepada diri sendiri. Maka, apakah patut dihukum pada orang yang bertindak ganas sahaja tanpa menghalang tindakan provokasi itu sendiri? Ini adalah hukum yang songsang bagi sebuah negara maju!

Saya percaya bahawa wabak ekstremism itu tidak mengenal agama, ia boleh terjadi kepada mana-mana kumpulan. Namun perlu diingat, tidak semua tindakan luar jangka berpunca daripada wabak ini. Ia mungkin berlaku akibat provokasi melampau yang berakhir dengan peristiwa berdarah persis kes-kes yang pergaduhan dan pembunuhan lain yang melibatkan dua pihak yang bermusuh.

Sikap prejudis yang ditunjukkan oleh Presiden Perancis ini memberi gambaran kegagalan ideologi Barat dalam menghadapi masyarakat majmuk. Walaupun Islam merupakan agama kedua terbesar di Perancis sekali gus mewakili komuniti Islam tertinggi di Eropah, satu demi satu tekanan diberikan kepada komuniti Muslim untuk mengamalkan agama. Pelbagai undang-undang dan polisi yang menindas komuniti Muslim, diperkenalkan dan dilaksanakan secara tegas.

Atas beberapa tindakan Perancis yang membiarkan penghinaan kepada Rasulullah S.A.W, bahkan terus menerus menindas komuniti Muslim, maka Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ingin mengajak seluruh kaum Muslimin dan rakyat Malaysia untuk berpadu tenaga, mengerahkan kempen boikot terhadap seluruh produk keluaran Perancis. Ini bagi menunjukkan ketegasan umat Islam dalam perkara yang berkaitan dengan Nabi Muhammad S.A.W.

DPPM juga mendesak kepada Kerajaan Perancis agar menarik semula lesen bagi Majalah Charlie Hebdo dan mengharamkan segala tindakan yang berunsur penghinaan terhadap agama. Kerajaan Perancis harus sedar bahawa tindakan kerajaan yang tidak menangani provokasi jahat pada agama seperti yang dilakukan oleh akhbar Charlie Hebdo ini adalah suatu yang sikap radikal yang bakal mencetuskan tindak balas radikal. 

DPPM menyeru Kerajaan Perancis untuk mencari jalan penyelesaian dengan proses perbincangan bersama pemimpin komuniti yang mewakili agama dan bangsa masing-masing. Kami percaya bahawa untuk mencapai kesejahteraan masyarakat majmuk, persefahaman dan usaha integrasi adalah perkara utama yang perlu diusahakan.

Suatu yang perlu difahami oleh orang yang berakal bahawa untuk mendapatkan kedamaian dan kesejahteraan masyarakat, ia tidak mungkin dengan segala provokasi dan penghinaan terhadap pihak lain. Oleh itu, apa yang berlaku hari ini perlu menjadi pengajaran besar buat Kerajaan Perancis dan masyarakat dunia!

“Memimpin Negara”

IR TS HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) – HARAKAHDAILY 28/10/2020

- Advertisement -